Anugerah APEC BEST iktiraf keusahawanan wanita | DagangNews Skip to main content

Anugerah APEC BEST iktiraf keusahawanan wanita

APEC BEST

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Anugerah Kecekapan dan Kejayaan APEC (APEC BEST 2020) diteruskan buat kali kelima untuk memberi pengiktirafan kepada perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki dan diuruskan oleh golongan wanita.

 

Anugerah yang akan diadakan pada 12 hingga 13 November itu turut menjadi medium mempromosikan penglibatan keusahawanan wanita di rantau berkenaan.

 

Pengerusi Kerjasama Dasar Mengenai Wanita dan Ekonomi APEC, Carolina Cuevas berkata, anugerah tahun ini akan mengenal pasti dan mempromosikan kisah kejayaan pemilik dan pengurus perniagaan kecil dan sederhana dalam menangani impak COVID-19.

 

“Impak daripada krisis COVID-19 amat dirasai oleh wanita dan gadis di seluruhan rantau APEC.

 

“Golongan wanita menghadapi tahap kesukaran ekonomi dan kerugian pendapatan yang lebih tinggi dan berdepan dengan masa yang lebih lama untuk kerja-kerja rumah yang tidak berbayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Carolina Cuevas
Carolina Cuevas

 

Bertemakan “Kepimpinan Perniagaan Wanita dalam Pemulihan Pasca Pandemik”, anugerah itu akan dimulakan oleh Rusia dengan China, Jepun, Malaysia dan Mexico sebagai penaja bersama.

 

Tambah beliau, anugerah APEC BEST 2020 menampilkan 20 pencalonan daripada 11 ekonomi APEC.

 

Kesemua calon tersebut mewakili pelbagai sektor ekonomi seperti sektor teknologi, keusahawanan sosial dan pengeluaran makanan sihat.

 

Barisan hakim pula terdiri daripada para usahawan, mentor, pegawai kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sivil.

 

Barisan hakim itu juga turut mewakili 11 negara ekonomi APEC untuk mencari dan menentukan pemenang yang layak.

 

Anugerah itu turut mengiktiraf enam pemenang dalam pelbagai kategori iaitu potensi pertumbuhan terbaik; daya tarikan antarabangsa; kelestarian perniagaan terbaik dalam menangani pandemik; projek revolusi perindustrian keempat; sokongan perniagaan keluarga terbaik dan pengurus atasan terbaik. - DagangNews.com