Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri kembali dianjurkan tahun ini - MICCI | DagangNews Skip to main content

Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri kembali dianjurkan tahun ini - MICCI

Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri (PMHA) mengiktirafkan syarikat sektor swasta yang cemerlang dalam penjagaan alam sekitar / Gambar hiasan dari FB PMHA
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) bakal kembali menganjurkan Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri (PMHA) pada tahun ini bagi mengiktiraf sektor swasta Malaysia yang komited dalam penjagaan alam sekitar.

 

Menurut MCCI, perniagaan tanpa mengira saiz dan industri digalakkan memohon untuk mendapatkan pengiktirafan atas komitmen mereka terhadap penjagaan alam sekitar dan mempraktikkan amalan mampan.

 

Pada asalnya, PMHA  dilancarkan pada 1996 bagi menonjolkan peranan penting sektor swasta dalam pengurusan alam sekitar dan pembangunan mampan. 

 

Anugerah berprestij dwitahunan adalah satu daripada beberapa anugerah di Malaysia yang bebas dengan hakim dan penilai terdiri daripada tokoh pemikir dan jaguh alam sekitar daripada pelbagai industri.

 

Presiden MICCI, Christina Tee berkata, elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus adalah penting dalam landskap perniagaan yang berkembang.

 

Beliau menekankan ESG bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan sebagai sebahagian daripada strategi dan operasi perniagaan dan sebahagian teras budaya syarikat.

 

“Faktor alam sekitar amat penting kerana dalam mana-mana rantaian bekalan perniagaan, syarikat biasanya terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penggunaan sumber asli atau memberi kesan kepada alam sekitar.  

 

"Oleh itu, rangka kerja menangani isu berkaitan alam sekitar seperti jejak karbon dan pelepasan, memerangi perubahan iklim, penggunaan sumber dan pengurusan sisa menyumbang ke arah keseluruhan kemampanan, daya tahan dan prestasi etika, serta kejayaan jangka panjang syarikat, besar atau kecil.

 

"Walaupun tidak semua syarikat mengeluarkan laporan kemampanan tahunan  secara terbuka, satu cara untuk menunjukkan kecemerlangan dan pengawasan alam sekitar syarikat adalah melalui pengiktirafan daripada anugerah berprestij seperti PMHA," ujarnya.

 

Anugerah PMHA memberikan penghormatan kepada firma dan sektor yang menunjukkan dedikasi terhadap perlindungan alam sekitar dan teknik pengurusan alam sekitar yang baik.

 

Organisasi yang menang akan ditawarkan seminar sehari, taklimat, atau bengkel percuma mengenai pembangunan mampan anjuran MICCI, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pengurusan & Penyelidikan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH).- DagangNews.com