Anwar tidak kemuka senarai nama Ahli Parlimen - Istana Negara | DagangNews Skip to main content

Anwar tidak kemuka senarai nama Ahli Parlimen - Istana Negara

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Istana Negara mendedahkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Parlimen ketika pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin AlMustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Sehubungan itu, Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. 

“Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan. 

istana negara

Sesi menghadap itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 22 September lalu, tetapi ditangguhkan ekoran kegeringan Yang di-Pertuan Agong yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bermula pada 21 September hingga 3 Oktober 2020.

Baca : Agong mungkin panggil ketua parti dapatkan pandangan, dakwa Anwar

Pada sidang akhbar khas selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi, Anwar mendakwa beliau mempunyai lebih 120 sokongan Ahli Parlimen.

istana negara

Susulan itu, beliau memohon untuk memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong menelaah dokumen yang dipersembahkan, sebelum memanggil ketua parti untuk mendapatkan pandangan.

Menyentuh perkembangan semasa penularan COVID-19 di Malaysia terutamanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kegusaran dan menasihati rakyat supaya bertenang dan berdisiplin.

“Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian COVID-19 serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu, Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman poliitk bersatu-padu dan bersatu hati memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan bersama serta kesjahteraan negara.

“Adalah dimaklumakan juga kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak,” tambahnya. - DagangNews.com