KUALA LUMPUR 25 Sept - Apex Securities Bhd mengesyorkan pelabur untuk membeli saham SSF Home Group Bhd yang bakal disenarai di Pasaran ACE pada 25 sen dan dijangka mencapai harga sasaran 34 sen untuk saham tersebut.
SSF secara tentatif dijadual bakal disenaraikan pada 12 Oktober ini.
Firma penyelidikan itu berkata penilaiannya adalah berdasarkan 15 kali nisbah harga-pendapatan (PER) daripada unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2024 (FY2024) kumpulan itu sebanyak 2.3 sen, iaitu di bawah Produk dan Perkhidmatan Pengguna PER Bursa Malaysia pada 20 kali dan rakan setara dengan purata PER pada 15.5 kali.
Menurutnya, PER yang disifatkan pada diskaun 26% daripada Produk dan Perkhidmatan Pengguna Bursa Malaysia adalah disebabkan bahagian pasarannya yang tidak menarik pada 0.4% dan paras pasaran yang lebih kecil berbanding rakan seangkatannya.
“Bagaimanapun, kami mempunyai pandangan positif untuk SSF kerana penjenamaannya yang mantap, kehadiran kukuh di seluruh Malaysia dan rancangan pengembangan kedai yang strategik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Apex Securities berkata dari perspektif jangka panjang, industri runcit kelengkapan rumah di Malaysia bersedia untuk pulih daripada kelembapan ekonomi.
Firma itu menambah, pandangan optimis ini didorong oleh peningkatan penggunaan teknologi rumah pintar dalam kalangan pemilik rumah dan pemulihan pasaran hartanah tempatan, disokong oleh komitmen berterusan kerajaan terhadap program rumah mampu milik.
“Oleh itu, industri runcit kelengkapan rumah diunjurkan akan mengalami kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9.3% dari 2023 hingga 2027,” katanya.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan hasil SSF boleh mencecah RM187.3 juta (+7% y-o-y [tahun-ke-tahun]) pada FY2024, RM212.8 juta (+14% y-o-y) pada FY2025 dan RM251.1 juta (+18 % y-o-y) pada FY2026.
“Ini disokong oleh pembukaan kedai baharu (18 cawangan baharu) dan jangkaan permintaan positif daripada konsep rumah pintar dan pemulihan dalam industri hartanah,” katanya. - DagangNews.com