KUALA LUMPUR 14 Ogos - Apex Securities meramalkan pertumbuhan pendapatan Seng Fong Holdings Bhd dipacu peningkatan kapasiti pengeluaran dan pengembangan margin menerusi penyepaduan sistem biojisim serta peralatan pintar.
Katanya, kumpulan itu akan meningkatkan kapasiti tahunan secara beransur-ansur kepada 200,000 tan metrik pada FY25 dan 210,000 tan metrik pada FY26.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan akan didorong oleh kecekapan operasi yang dipertingkatkan melalui penambahan lebih banyak syif kerja dan pelaksanaan peralatan pembuatan getah pintar di ketiga-tiga kilang.
"Penggunaan sepenuhnya sistem biojisim dan penyepaduan peralatan pintar ke dalam operasi dijangka menyumbang kepada pengembangan margin melalui penjimatan kos operasi dan tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Seng Fong pada 4QFY24 melonjak lebih 5 kali ganda kepada RM16.4 juta
Terdahulu, hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat kepada RM331.3 juta pada suku berkenaan berbanding RM238.8 juta pada 4QFY23
Peningkatan hasil daripada segmen pemprosesan didorong peningkatan jumlah jualan sebanyak 7,137 tan metrik atau 18.7% kepada RM45,239 tan metrik pada 4QFY24 serta kenaikan purata harga jualan sebanyak RM7,323 bagi setiap tan berbanding RM6,202 setiap tan pada 4QFY23.
Apex Securities berkata, pada separuh pertama 2024, jumlah eksport getah asli Malaysia meningkat sebanyak 14% didorong kebangkitan semula aktiviti pembuatan di China dan permintaan yang semakin meningkat di India.
Katanya, pertumbuhan masa depan akan didorong oleh peningkatan dalam pengeluaran kenderaan dan pembangunan kenderaan elektrik di seluruh dunia
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.90 sesaham," katanya. - DagangNews.com