Aplikasi Construx Bayo Pay tawar perkhidmatan kiriman wang dalam talian, manfaat lebih 600,000 personel binaan | DagangNews Skip to main content

Aplikasi Construx Bayo Pay tawar perkhidmatan kiriman wang dalam talian, manfaat lebih 600,000 personel binaan

Aplikasi Construx Bayo Pay

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan, Bayo Pay (M) Sdn Bhd (Bayo Pay) terus melebarkan sayap perkhidmatan untuk industri pembinaan melalui aplikasi mudah alih Construx dengan memperkenalkan perkhidmatan kiriman wang secara dalam talian ke 190 negara luar. 

 

Inisiatif terbaru itu adalah kolaborasi Bayo Pay dengan MaxMoney Sdn Bhd (MaxMoney) yang dijangka memanfaatkan lebih daripada 600,000 personel binaan yang memegang Kad Pendaftaran Personel Pembinaan CIDB (Kad Hijau CIDB) untuk melaksanakan kiriman wang dalam talian ke luar negara.

 

Melalui kolaborasi itu, Bayo Pay menyediakan platform untuk personel binaan mengirim wang ke luar negara dengan selamat dan lancar. 

 

Selain memanfaatkan kemudahan teknologi digital di hujung jari, pendekatan tersebut memastikan jaminan keselamatan individu memandangkan transaksi tidak perlu dilaksanakan secara fizikal di kaunter ketika pandemik ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah berkata, kerjasama terbaru itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk memberikan penambahbaikan berterusan bagi solusi pembayaran digital dan transaksi untuk industri pembinaan.

 

Aznul Abdullah
Aznul Abdullah 

 

"Memandangkan digitalisasi adalah pemacu baru pertumbuhan ekonomi Malaysia, Bayo Pay berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam pelaksanaan perkhidmatan pembayaran digital di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini Bayo Pay telah mengumumkan Construx Payroll dan Construx e-Wallet yang merupakan sebahagian daripada Program Penambahbaikan Kad Hijau CIDB. 

 

Solusi tersebut disediakan secara percuma untuk semua syarikat pembinaan dan personel binaan yang berdaftar dengan CIDB.

 

Perkhidmatan kiriman wang dalam talian adalah ciri terbaru aplikasi tersebut yang meluaskan fungsi penggunaan Kad Hijau CIDB dan aplikasi mudah alih Construx untuk pemegang kad tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MaxMoney, A. Abdul Hamid memberitahu, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Bayo Pay yang membolehkan lebih 600,000 personel binaan terutamanya dalam kalangan pekerja asing yang ingin mengirim wang dalam talian dengan segera dan selamat kepada orang tersayang di negara asal mereka.

 

MaxMoney adalah pelopor dalam Perniagaan Perkhidmatan Wang di Malaysia dengan pengalaman melebihi 30 tahun. 

 

Perkhidmatan yang ditawarkan membolehkan individu dan pemilik perniagaan menukar dan memindahkan wang pada bila-bila masa melalui maxmoney.com. 

 

Syarikat berkenaan juga merupakan syarikat Malaysia pertama yang memperoleh Lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang, yang dikawal selia Bank Negara Malaysia.

 

Perkhidmatan pengiriman wang yang ditawarkan meliputi lebih daripada 100 mata wang asing merentasi 190 negara. - DagangNews.com