ARB cadang senaraikan perniagaan IoT di Nasdaq | DagangNews Skip to main content

ARB cadang senaraikan perniagaan IoT di Nasdaq

Subsidiari tersebut, akan kekal sebagai anak syarikat milik penuh ARB apabila cadangan penyenaraian itu lengkap kelak.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Feb – Penyedia perisian dan platform teknologi maklumat, ARB Bhd bercadang menyenaraikan subsidiari Internet Benda (IoT) syarikat itu di Pasaran Nasdaq, Amerika Syarikat.

 

Walaubagaimanapun, dalam pernyataannya di Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memberitahu butiran cadangan penyenaraian itu belum dimuktamadkan.

 

Subsidiari tersebut kata ARB, akan kekal sebagai anak syarikat milik penuhnya apabila cadangan penyenaraian itu lengkap kelak.

 

"Pengumuman terperinci mengenai cadangan penyenaraian itu akan dibuat sejajar dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, sebaik sahaja syarikat memuktamad dan meluluskan cadangan penyenaraian.

 

Kumpulan syarikat ARB juga akan mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan, termasuk US Securities and Exchange Commission, Bursa Securities dan sebagainya, serta kelulusan pemegang saham di dalam mesyuarat agung kelak.

 

ARB berkata, satu daripada manfaat utama daripada cadangan penyenaraian di Nasdaq ialah ia akan membolehkan kumpulan syarikat ini mempromosi pemisahan lebih jelas operasi dan tanggungjawab perniagaan bagi segmen IoT sedia ada, maka itu membolehkan pengurusan memperuntukkan dengan efisien sumber-sumbernya bagi mempercepatkan perluasan dan pertumbuhan perniagaan IoT.

 

Selain itu, ia juga akan memberikan perniagaan IoT dengan akses langsung kepada platform penjanaan dana baharu, yang akan meningkatkan fleksibiliti kewangan bagi perniagaan IoT bagi mencari peluang perluasan dan pertumbuhan.

 

``Ia juga akan membolehkan perniagaan IoT syarikat ini memperoleh pengiktirafan menerusi status penyenaraian berasingannya,’’ kata ARB.


 

Datuk Seri Larry Liew Kok Leong
                                     Datuk Seri Larry Liew Kok Leong

 


Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif ARB, Datuk Seri Larry Liew Kok Leong berkata, perniagaan IoT telah meraih momentum sejak beberapa tahun ini, yang dapat dilihat di dalam keputusan kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

"Pandemik COVID-19 telah melonjakkan pertumbuhan kita berikutan permintaan besar bagi perkhidmatan syarikat ini. Apa yang kami alami dalam tempoh dua tahun ini adalah perubahan ke arah pendigitalan, yang momentumnya dijangka berterusan dengan pelaksanaan 5G dan pengautomasian,’’ ujarnya. – DagangNews.com