ASB umum agihan dividen 5.25 seunit | DagangNews Skip to main content

ASB umum agihan dividen 5.25 seunit

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion itu akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.

 

Bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB secara konsisten memberikan pulangan kompetitif melalui dana harga tetap, yang kesemuanya mengatasi penanda aras mereka selama ini. 

 

"Orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin. Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 (daripada 15.2 juta tahun lepas). 

 

"Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. 

 

 

ASB
Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda

 

 

 

ASB

 

 

Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2024.

 

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 25 Disember 2022.

 

Satu ciri khas diperkenalkan pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia terus menyimpan, yang membolehkan transaksi pelaburan tunai tambahan dalam ASB bermula 26 Disember 2023.

 

Urus niaga pelaburan ini akan diambil kira untuk baki minimum bulanan pada Januari 2024, membolehkan pemegang unit menikmati pengiraan penuh pengagihan pendapatan mulai Januari 2024. 

 

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di semua platform digital dan perbankan internet bermula 1 Januari 2024, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Januari 2024. - DagangNews.com