Kossan kembali catat untung bersih RM31.5 juta pada 1QFY24 didorong harga gas asli lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Kossan kembali catat untung bersih RM31.5 juta pada 1QFY24 didorong harga gas asli lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kossan Rubber Industries Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM31.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM24.3 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong pendapatan lebih tinggi dan harga gas asli lebih rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tahunan juga meningkat kepada RM451.6 juta berbanding RM394.7 juta pada 1QFY23.

 

Katanya, hasil bahagian sarung tangan meningkat sebanyak 19.56% kepada RM379.63 juta bagi suku semasa berbanding RM317.54 juta pada tahun sebelumnya disebabkan jumlah jualan lebih tinggi.

 

"Untung kasar bahagian sarung tangan adalah sebanyak RM26.57 juta berbanding kerugian RM34.9 juta pada 1QFY23 didorong jualan yang lebih tinggi dan harga gas asli yang lebih rendah bagi suku semasa.

 

"Bagi bahagian produk getah teknikal (TRP), hasil menyusut 12.84% kepada RM48.95 juta berbanding RM56.15 juta disebabkan jualan lebih rendah tetapi untung kasar meningkat 12.67% kepada RM8.92 juta disebabkan campuran produk lebih baik," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, jurang bekalan-permintaan yang dihadapai industri sarung tangan dijangka berterusan sepanjang FY24 ditambah pula dengan saingan di peringkat antarabangsa dari segi purata harga jualan.

 

Katanya, landskap operasi yang mencabar itu akan terus dipengaruhi kenaikan harga bahan mentah dan gas asli pada 2QFY24 dan kumpulan itu menjangkakan harga bahan mentah mengalami kenaikan kecil sepanjang FY24 manakala harga gas asli bergantung kepada turun naik harga minyak mentah.

 

"Walaupun terdapat pelbagai halangan, prospek jangka panjang untuk sarung tangan kekal positif, didorong oleh piawaian yang lebih ketat serta peningkatan kesedaran kebersihan dalam sektor perubatan dan perindustrian," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, tumpuan utama mereka kekal pada meningkatkan kecekapan kos dengan mempercepatkan automasi dan rumusan digital selain penyediaan Latihan umber manusia selain mengukuhkan sistem pengurusan bagi membolehkan mereka mengurangkan kos pengeluaran bagi mengatasi cabaran tenaga kerja sedia ada.

 

"Kami juga komited memajukan inisiatif kemampanan, meningkatkan penglibatan dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus kepada pelanggan kami," katanya.- DagangNews.com