Aset rizab rasmi BNM AS$108.63 juta pada akhir Januari | DagangNews Skip to main content

Aset rizab rasmi BNM AS$108.63 juta pada akhir Januari

Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Butiran terperinci rizab antarabangsa pada akhir Januari 2021 mencatatkan jumlah aset rizab rasmi sebanyak AS$108.63 juta.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, butiran tersebut adalah mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

 

Bagi aset mata wang asing lain, jumlah yang dicatatkan adalah sebanyak AS$560.5 juta pada akhir Januari 2021.

 

"Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$7.25 bilion.

 

"Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara.

 

"Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$6.58 bilion, manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$535 juta pada akhir bulan Januari 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," jelas BNM dalam satu kenyataan hari ini.

 

BNM berkata, butiran terperinci mengikut format SDDS IMF itu memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain.

 

Dalam masa yang sama berkaitan jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

BNM menambah, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data tersebut tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. 

 

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.36 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Di samping itu, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$389.3 juta.

 

"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

 

"Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

 

"Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Januari 2021 tetap boleh guna," ujar BNM lagi. - DagangNews.com