ASNB isytihar pembayaran agihan pendapatan RM907.3 juta untuk ASM 2 Wawasan | DagangNews Skip to main content

ASNB isytihar pembayaran agihan pendapatan RM907.3 juta untuk ASM 2 Wawasan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan berjumlah RM907.3 juta untuk unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020.

ASNB dalam kenyataannya berkata, pembayaran pendapatan ASM 2 Wawasan itu memanfaatkan 890,038 pemegang unit dengan pegangan 22.6 bilion unit.

Di sebalik prestasi pasaran saham yang sangat mencabar dipengaruhi oleh pandemik COVID-19, pulangan 4.00 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan purata Deposit Tetap 12-bulan Maybank pada kadar 2.61% sebanyak 139 mata asas bagi tahun kewangan semasa setakat 26 Ogos 2020, yang mana FBM KLCI mencatatkan penurunan sebanyak 3.88% daripada 1,612.1 ke 1,549.6 dalam tempoh yang sama.

ASM 2 Wawasan telah mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM802.3 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya pada 31 Julai 2020.

astro

Dana ini menjana jumlah pendapatan kasar direalisasi sebanyak RM1,043.7 juta, dengan keuntungan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat tersenarai dan tidak tersenarai berjumlah RM579.4 juta atau 55% daripada jumlah pendapatan kasar direalisasi.

Pendapatan daripada jualan saham menyumbang RM281.1 juta atau 27%, dengan baki RM183.2 juta atau 18% adalah daripada pelaburan dalam sukuk, deposit tetap Islamik dan instrumen berpendapatan tetap lain serta lain-lain pendapatan.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2020.

Semua urus niaga bagi ASM 2 Wawasan telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 27 hingga 31 Ogos 2020 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB seluruh negara apabila urus niaga kembali beroperasi pada 1 September 2020.

ASM 2 Wawasan (dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham Wawasan 2020) merupakan unit amanah harga tetap yang dilancarkan pada 28 Ogos 1996.

ASM 2 Wawasan merupakan unit amanah aset campuran yang bersesuaian untuk pelabur yang memahami risiko dan pulangan pelaburan serta menjangkakan manfaat dari pertumbuhan jangka panjang hasil pelaburan semula pengagihan pendapatan (sekiranya ada) dan penerimaan pendapatan (sekiranya ada) ke atas pelaburan mereka. - DagangNews.com