ASNB lancar Wakaf ASNB untuk pelabur laksanakan amal kebajikan | DagangNews Skip to main content

ASNB lancar Wakaf ASNB untuk pelabur laksanakan amal kebajikan


KUALA LUMPUR 22 Nov - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melancarkan perkhidmatan baharu, Wakaf ASNB, bagi membuka peluang kepada pelabur untuk melaksanakan amal kebajikan menerusi dana unit amanah ASNB mereka.

 

ASNB merupakan syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB).

 

Menurut PNB, unit amanah yang diwakafkan oleh pelabur akan dikekalkan sebagai pelaburan pokok bagi menjana pulangan tahunan.

 

Pulangan daripada pelaburan pokok tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada projek-projek berkepentingan awam pada setiap tahun, dan ia berterusan walaupun setelah pelabur meninggal dunia.

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata pulangan pelaburan yang dijana daripada dana wakaf akan disalurkan ke projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan.

 

“Penelitian projek yang sesuai perlu melalui proses penilaian dan pemilihan secara kolektif oleh Jawatankuasa Pengagihan Wakaf Bersama ASNB-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya semasa melancarkan Wakaf ASNB di sini Ahad.

 

 

Tun Arifin Zakaria
Tun Arifin Zakaria

 

 

Jawatankuasa tersebut, yang merangkumi pentadbir aset wakaf iaitu ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB), MAIWP dan ahli bebas, juga berperanan sebagai penasihat bagi urusan berkaitan isu-isu hukum seperti kepatuhan syariah, polisi, program dan urus tadbir dana wakaf. Beliau berkata ASNB ialah syarikat pengurusan unit amanah yang pertama dilantik sebagai mutawalli oleh MAIWP.

 

“Dengan pelantikan ini, ASNB memikul amanah untuk menguruskan dana wakaf ini  sepenuhnya dengan tahap tadbir urus yang tinggi dan profesional demi kepentingan ummahdan masyarakat,” katanya. - DagangNews.com