Aspirasi Jendela : Capaian 5G menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Aspirasi Jendela : Capaian 5G menjelang 2025

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Menyedari keperluan kelajuan rangkaian internet terutamanya selepas penularan COVID-19 di negara ini, kerajaan meneroka inisiatif baharu bagi mencapai matlamat tersebut. 

 

Berbaki dua bulan sahaja memasuki tahun 2021, Malaysia tidak boleh berbangga dengan rangkaian 4G sebagai tawaran perkhidmatan internet terkini, malah masih ada yang menggunakan 3G. 

 

Sehubungan itu, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) diperkenalkan bagi memacu transformasi digital negara termasuk liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi, serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

 

Adakah kita sedang ‘menikmati’ internet berkualiti?

Penularan COVID-19 telah mendorong masyarakat di seluruh dunia terutamanya di Malaysia untuk mula mengamalkan norma baharu, ini termasuk bekerja dari rumah. 

 

Jendela 2
PENDEKATAN kualiti pengalaman internet yang disasarkan bagi kedua-dua jalur lebar tetap dan mudah alih.

 

Menerusi Laporan Makmal Infrastruktur Digital Nasional Jendela bertarikh 3 September lalu, Malaysia menyaksikan perubahan ketara dalam penggunaan internet yang dicetuskan oleh penularan COVID-19. 

i. Trafik internet meningkat sebanyak 30% hingga 70%

ii. Penggunaan internet telah beralih ke kawasan perumahan sebanyak 50% hingga 70%

iii. Kelajuan internet berkurangan sebanyak 30% hingga 40%

iv. Aduan berhubung kelajuan internet, liputan baharu dan dalam telah meningkat sebanyak 40% hingga 70%

 

Penggunaan internet semakin meningkat, tetapi menyaksikan kemerosotan dalam kelajuan internet, sekali gus menjadi titik tolak untuk Malaysia segera menawarkan keperluan yang seiring norma baharu ini.

 

Bagaimana Jendela dilaksanakan?

Jendela yang merupakan usaha kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi dan pemain industri bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 hingga 2025). 

 

Jendela dilaksanakan dalam dua fasa di mana ketika ini, fasa pertama telah berjalan sehingga tahun 2022. Apa yang berlaku dalam fasa pertama?

 

Pada fasa pertama, liputan 4G bakal diperluaskan sehingga 96.8% di kawasan berpenduduk daripada 91.8% serta kelajuan jalur lebar mudah alih dipertingkatkan kepada 35Mbps daripada 25 Mbps. 

 

Peralihan penuh dapat dilihat menerusi infografik di bawah:

 

Jendela 1
PENERANGAN dua fasa yang bakal dilaksanakan di bawah Jendela.

 

Pada fasa kedua (2022 hingga seterusnya), akses tanpa wayar tetap atau ‘Fixed Wireless Access’ (FWA) dan teknologi ‘fit for purpose’ akan digunakan untuk menangani jurang digital.

 

Akhirnya, perluasan rangkaian 5G akan dilaksanakan apabila tindakan dalam fasa pertama telah dicapai. 

 

Jendela berdepan cabaran?

Kes jangkitan COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes ketika ini tidak dinafikan memberi cabaran kepada pelaksanaan Jendela.

 

Oleh itu, SKMM akan mengeluarkan laporan setiap suku tahun bermula Disember 2020 bagi memastikan setiap sasaran dicapai, kata Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dalam Bengkel Jendela Media baru-baru ini. 

 

Dr. Fadhlullah
Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek

 

Namun, pelaksanaan Jendela masih berdepan dua cabaran utama yang memerlukan kerjasama dan pemahaman daripada setiap pihak. 

 

i. Kelulusan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Kita mahu membawa industri untuk membangunkan rangkaian internet ke setiap negeri di mana terdapat undang-undang yang dikuatkuasakan. Jadi, bagi melaksanakannya, kami menjelaskan bahawa telekomunikasi kini merupakan sebuah utiliti seperti keperluan air dan elektrik,” kata Fadhlullah Suhaimi. 

 

ii. Masyarakat perlu diberikan pemahaman tinggi terhadap infrastruktur yang perlu dibangunkan berdekatan rumah mereka bagi menikmati perkhidmatan internet.

 

Keperluan migrasi dalam penggunaan peranti

Inisiatif Jendela telah menyatukan pemain industri untuk bekerjasama dan menggunakan sumber yang ada bagi merealisasikan internet berkualiti dan berkelajuan tinggi. 

 

Ketua Rangkaian di Maxis, Abdul Karim Fakir Ali berkata, syarikat telekomunikasi berkongsi infrastruktur untuk memperluas rangkaian internet ke kawasan pedalaman.

 

“Di bawah Jendela, kami cuba lakukan yang terbaik dengan sumber terhad,” katanya dalam bengkel sama. 

 

Bagaimanapun, usaha ini bukan sahaja datang daripada pihak kerajaan dan pemain industri, malah masyarakat digalakkan untuk menyokong inisiatif tersebut dengan menambah baik atau berpindah ke peranti yang dapat menyokong rangkaian 4G kerana menjelang tahun 2022, tiada lagi rangkaian 3G dan teknologi sebelumnya. 

 

Jendela map
JENDELA MAP menerusi Sistem Pengurusan Infrastruktur Komunikasi (CIMS) digunakan untuk menyelaraskan langkah-langkah bagi menangani isu liputan dan jurang kelajuan dalam perkhidmatan tetap dan mudah alih internet.

 

Penggunaan internet yang berkualiti menjadi satu keperluan untuk masyarakat, perniagaan dan pihak berkepentingan untuk menyumbang kepada ekonomi yang mampan di samping menjadikan Malaysia seiring dengan negara-negara membangun. 

 

Apa yang pasti, pembangunan infrastruktur perlu dilihat sebagai sebuah utiliti awam untuk mendukung peralihan digital negara. - DagangNews.com