Atasi isu sebenar dalam industri sawit - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Atasi isu sebenar dalam industri sawit - Maybank IB

BAGI Maybank IB, langkah segera yang sepatutnya diambil adalah mengecualikan duti eksport ke atas minyak sawit Malaysia. - Gambar Reuters

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerajaan Malaysia perlu bertindak pantas bagi mengelakkan situasi yang berlaku pada 2012 tidak berulang kembali, tegas Maybank Investment Bank (IB). 

 

Penganalisisnya, Ong Chee Ting berkata, harga minyak sawit Malaysia kehilangan daya saing jika berdasarkan kepada prestasi import dan eksport yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi tempoh Januari hingga April 2021.

 

Bagi tempoh itu, import minyak sawit meningkat 74% tahun ke tahun manakala eksport menurun -7%.

 

"Memandangkan stok MPOB sering dijadikan proksi kepada stok di rantau ini, sektor ini berisiko untuk mengakhiri kenaikan harga minyak sawit mentah sebelum waktunya jika kenaikan stok dibiarkan. 


 
"Sehubungan itu, elakkan apa yang pernah berlaku pada 2012. Langkah segera yang sepatutnya diambil adalah mengecualikan duti eksport ke atas minyak sawit Malaysia," katanya dalam nota kajian bertarikh 17 Mei. 

 

Berdasarkan analisis bank pelaburan itu, statistik yang dikeluarkan MPOB bagi tempoh tersebut memberikan gambaran masalah struktur yang dihadapi oleh industri meskipun sebahagian besarnya diabaikan berikutan harga minyak sawit yang tinggi. 

 

Pada Oktober 2011, kerajaan Indonesia mengubah struktur cukai eksport dengan tujuan untuk mengalakkan pelaburan dalam hiliran melalui perbezaan cukai yang lebih memihak kepada produk hiliran. 

 

Ketika itu, Malaysia melaksanakan cukai eksport minyak sawit mentah (sehingga 30%) yang bermakna mengeksport minyak sawit bukan pilihan yang boleh dilaksanakan melainkan mereka diberi eksport kuota percuma oleh kerajaan Malaysia.  


 
Namun, selepas 14 bulan, kerajaan Malaysia akhirnya mengubah struktur cukai pada Disember 2012 bagi memenuhi perbezaan cukai di Indonesia.

 

"Kami melihat trend yang sama pada 2011 hingga 2012 ini mungkin berulang tahun ini jika isu sebenar tidak ditangani," jelas Chee Ting. 

 

Bagi tempoh 4 bulan itu, statistik MPOB menunjukkan meskipun import meningkat tetapi import bagi minyak sawit mentah menurun 67% berbanding tempoh sama tahun lalu manakala import minyak sawit terproses meningkat 151%. 

 

Untuk eksport pula, minyak sawit mentah yang dieksport meningkat 96% sebaliknya, minyak sawit terproses menurun 23% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Beliau berkata, ini disebabkan kerajaan Indonesia merombak semula kadar cukai dan ini tidak memberi kelebihan kepada syarikat penapisan minyak sawit tempatan dari segi kos bahan mentah, sekali gus semakin melebarkan perbezaan cukai dan meningkatkan margin syarikat penapisan ini.

 

Data MPOB turut menunjukkan kadar penggunaan kilang penapisan susut 48% pada suku pertama 2021.

 

Malah, statistik perdagangan Malaysia mendedahkan harga purata eksport minyak sawit terproses bagi tempoh 4 bulan adalah pada paras RM3,884 satu tan metrik, yang mana ia lebih rendah daripada purata harga eksport minyak sawit mentah iaitu RM3,989 satu tan metrik.

 

Menurut Chee Ting, tidak seperti Indonesia, syarikat penapisan membeli minyak sawit mentah pada harga antarabangsa, tidak termasuk cukai eksport.

 

"Tetapi, perkara ini tidak diamalkan di Malaysia berikutan industri yang lebih berpecah-belah. 

 

"Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan penanda aras yang tidak sama kepada syarikat pengilang penapisan di Malaysia dan Indoensia, malah lebih menyakitkan buat peladang sawit," katanya. 

 

Secara dasarnya, syarikat penapisan merupakan sebahagian daripada ekosistem memandangkan 77% daripada eksport Malaysia antara 2011 dan 2020 adalah dalam bentuk minyak sawit terproses. 

 

Pada 2012, ketidakupayaan syarikat ini untuk menjalankan operasi menguntungkan telah menyaksikan kadar penggunaan kilang yang rendah manakala paras inventori minyak sawit mentah meningkat dengan pantas pada separuh kedua 2012 ketika musim pengeluaran memuncak. 

 

Bagaimanapun, ia menghantar isyarat yang salah kepada pasaran hingga mengakibatkan penurunan harga minyak sawit mentah. 

 

Pada tahun itu, harganya susut 29% tahun ke tahun kepada RM2,231 satu tan metrik pada akhir 2012.

 

Menurut beliau, dengan mengambil kira harga minyak sawit mentah berlegar pada paras RM4,061 satu tan metrik ketika ini, firma itu menyemak semula unjuran harga tahun ini kepada RM3,100 satu tan metrik manakala RM2,600 satu tan metrik bagi 2022. 

 

Maybank IB memberi saranan 'beli' kepada KL Kepong, Sarawak Oil Palm dan Boustead Plantation. - DagangNews.com