IPOH 11 Sept - Atlanta Group Sdn. Bhd. (Atlanta Group) memperluaskan lagi rangkaian cafe dan restoran di bawah jenamanya menerusi pembukaan beberapa cawangan baharu termasuk di Lembah Klang.
Tiga subsidiari tersebut ialah Shake & Bake Cafe, UNITI Republic dan Top Spice.
Shake & Bake Cafe merupakan premis pertama syarikat tersebut yang dibuka di Ipoh pada Ogos 2020 diikuti UNITI Republic (Ogos 2022) dan Top Spice (Jun 2023).
UNITI Republic adalah sebuah restoran gabungan moden manakala Top Spice pula merupakan restoran dimsum dan makanan Cina-Thai.
Atlanta Group dalam kenyataan memaklumkan, tahun ini syarikat telah mengembangkan Shake & Bake Cafe ke Kuala Lumpur dengan pembukaan premis di Quill City Mall pada bulan Mac.
Seterusnya akan membuka cawangan Shake & Bake Cafe pada Oktober nanti di Courtyard, SS15 di Petaling Jaya.
“Kami juga merancang untuk terus berkembang dengan pembukaan di Atria Damansara pada hujung Disember tahun ini
“Bagi Top Spice pula, kami baru membuka cawangan di Kuala Lumpur pada Jun lalu di Quill City Mall,” ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, bagi menghargai sokongan pelanggan Atlanta Group telah mengadakan cabutan bertuah ‘9.9 Mega Lucky Draw’ menerusi kempen jualan pada 1 Jun dan berakhir 9 September.
Jelas kenyataan itu lagi, sebanyak 20,000 penyertaan diterima yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM390,000 termasuk 3 buah kereta.
“Penyertaaan melibatkan pelanggan disemua rangkaian cafe kami yang berbelanja sekurang-kurangnya sebanyak RM50.
“Sesi cabutan bertuah telah diadakan di premis Shake & Bake Cafe di sini pada malam Isnin lepas yang mana pelanggan bertuah telah dihubungi.
“Hadiah-hadiah telah disampaikan terus kepada para pemenang atau wakilnya,” ujar kenyataan tersebut. - DagangNews.com