KUALA LUMPUR 31 OKT - Malaysia terus memainkan peranan pada pentas antarabangsa menerusi penghantaran Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) ke Lubnan bagi membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL).
Pasukan ini yang akan dihantar tidak lama lagi untuk menggantikan Tim MALBATT 850-10 yang berada di sana sejak setahun lalu.
Ia didahului dengan penghantaran pasukan pendahulu sebelum diikuti pasukan induk secara berperingkat-peringkat.
Anggota MALBATT 850-11 yang melaksanakan misi UNIFIL selama setahun terdiri daripada mereka yang terpilih mengikut cabang perkhidmatan masing-masing.
Pasukan ini turut dianggotai anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan pegawai awam dari Kementerian Pertahanan (MINDEF) diketuai Kolonel Kolonel Burhan Sagoni selaku Komander MALBATT 850-11.
Penghantaran pasukan ini juga mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap keupayaan dan kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman.
Minggu lalu, majlis penutup Latihan Integrasi Pasukan (FIT) MALBATT 850-11 telah diadakan bertempat di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.
FIT yang berlangsung selama 9 minggu merupakan latihan akhir sebelum untuk meningkatkan pengetahuan dan kompetensi anggota berkaitan dalam semua aspek bidang penugasan di kawasan misi.
Selain itu, ia turut berupaya meningkatkan tahap kesiagaan fizikal dan mental serta memupuk nilai-nilai teras yang tinggi dalam diri anggota MALBATT 850-11.
Ini terutamanya berkenaan pematuhan aspek kemanusiaan seperti perlindungan orang awam, keselamatan dan keamanan wanita, tatacara operasi dan hak asasi kemanusiaan.
Sebelum ini dalam satu kenyataan, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memberitahu bahawa pasukan MALBATT 850-10 yang terbabit misi pengaman di Lubnan disahkan selamat walaupun keadaan tegang di sempadan negara itu susulan konflik Palestin-Israel.
Tegas beliau, penugasan pasukan MALBATT 850-10 ketika ini berjalan seperti biasa.
Katanya, segala arahan dan penugasan adalah tertakluk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan buat masa ini MALBATT kekal di negara berkenaan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.
Media antarabangsa melaporkan pertempuran membabitkan kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel, kian memuncak di sebalik konflik Palestin-Israel.
Malaysia menghantar tentera pengaman bagi misi UNIFIL di Lubnan sejak 2007 dan sepanjang tempoh tersebut MALBATT sangat dikenali serta dihormati oleh masyarakat setempat.- DagangNews.com