Awang Sariyan rayu Agong pertimbangkan `gencatan politik' ketika negara masih bergelut dengan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Awang Sariyan rayu Agong pertimbangkan `gencatan politik' ketika negara masih bergelut dengan COVID-19

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Yang di-Petuan Agong dirayu agar menimbangkan supaya diadakan `gencatan politik' ketika negara masih dilanda wabak COVID-19 sekarang ini.

 

Tokoh budayawan negara, Profesor Datuk Sri Dr. Awang Sariyan berkata, beliau sebagai salah seorang rakyat di negara yang tercinta ini, dan tidak berpihak daripada mana-mana kelompok, merafak sembah memohon Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menimbangkan dan mempertahankan rayuan 175 Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan agar Tuanku menimbangkan gencatan politik dalam keadaan negara masih dilanda wabak COVID-19. 

 

''Pada hemat patik, tumpuan perhatian para pemimpin dan ahli parlimen pada sekaliannya wajar diberi perhatian pada menangani wabak yang tersebut itu.

 

''Dan sebarang rancangan pertukaran kerajaan wajar ditangguhkan kepada waktu yang lebih sesuai demi maslahah, kesejahteraan dan kesihatan rakyat seluruhnya,@ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut beliau lagi, sembah harapan beliau itu adalah berlunaskan kedudukan dan martabat Tuanku sebagai payung negara yang Insya-Allah dapat merungkaikan sebarang kemelut dan khilaf yang berlaku dalam kalangan pihak-pihak tertentu.

 

''Patik yakin bahawa Tuanku merupakan wibawa yang paling tepat dalam memberikan pimpinan kepada patik-patik rakyat Tuanku sekaliannya,'' kata Dr. Awang Sariyan. - DagangNews.com