Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Jan. - AirAsia X Berhad memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak terpedaya dengan penipuan yang menggunakan jenamanya atau syarikat berkenaan.
Amaran itu dibangkitkan susulan terdapat mesej penipuan melalui aplikasi WhatsApp yang melibatkan penggunaan jenamanya, meminta penerima untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang dikatakan milik salah sebuah syarikat pengurusan kredit.
“Kami ingin menjelaskan dan menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit kepada sesiapa sahaja melalui sebarang mesej atau panggilan telefon yang mungkin diterima daripada AirAsia X.
“AirAsia X ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.
“AirAsia X tidak berkomunikasi dengan para tetamunya melalui mana-mana aplikasi sembang seperti WhatsApp. Semua pengumuman rasmi AirAsia X akan diumumkan di laman rasmi kumpulan airasia melalui media sosial dan media massa,” tegas syarikat itu dalam sebuah kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, AirAsia X menjelaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama AirAsia X atau airasia untuk melakukan penipuan mahupun kecurian identiti.
“Jika ada keraguan, sila laporkan penipuan yang disyaki menggunakan jenama AirAsia X dan airasia melalui saluran komunikasi rasmi airasia seperti Twitter, Instagram dan Facebook.
“Orang ramai diingatkan bahawa AirAsia X tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan ini yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com