AXA berganding bahu dengan Finology tawar insurans motor digital penuh | DagangNews Skip to main content

AXA berganding bahu dengan Finology tawar insurans motor digital penuh

 

KUALA LUMPUR 7 Sept -  AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) dan Finology Sdn Bhd (Finology) menjalin kerjasama strategik untuk meningkatkan prestasinya melalui pendigitalan dengan menawarkan penyampaian produk yang lebih segera, meningkatkan pengalaman pelanggan, serta mencapai segmen pelanggan baharu.

 

Kerjasama strategik ini akan menjadikan Finology, sebuah syarikat Fintech Malaysia yang tertumpu dalam pemberian pinjaman dan insurans secara lancar untuk pengguna dan perniagaan - sebagai pemacu pengedaran digital untuk AXA dengan memanfaatkan keupayaan teknologinya dalam menghasilkan dan menawarkan produk insurans yang ringkas tetapi khusus melalui platform digital yang berkecekapan tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, kerjasama itu akan meningkatkan lagi kebolehpasaran AXA di ruang digital dan membolehkan pelanggan mendapatkan perlindungan  dengan mudah melalui saluran pilihan mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

 

“Di AXA, kami percaya bahawa digitalisasi ialah langkah untuk mara ke hadapan dalam menyokong dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan. Itulah sebabnya kami mencari rakan strategik untuk memperluaskan saluran pengedaran digital kami dan meningkatkan aksesibiliti terhadap produk dan perkhidmatan kami.

 

''Kami benar-benar teruja untuk bekerjasama dengan Finology bagi menyelaraskan nilai fokus pelanggan kami dan seterusnya berkerjasama secara kolektif untuk memberikan perkhidmatan insurans dalam talian yang cepat, mudah dan selamat melalui teknologi digital yang inovatif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Melalui laman web sub-jenama Finology, Loanstreet.com.my, para pelanggan boleh mendapatkan tarif harga segara bagi insurans kereta atau motor yang ditawarkan oleh AXA dan melakukan pembelian atau pembaharuan insurans dalam masa kurang dari lima minit.

 

Pengarah Eksekutif Finologi, Robin Ang berkata, pihaknya memberi fokus kepada akses yang lebih lancar terhadap produk kewangan untuk menawarkan kemudahan dan kecekapan kepada pengguna.

 

''Apabila kami mempelopori insurans motosikal dan pembaharuan cukai jalan secara digital buat kali pertama pada tahun 2019, kesedaran pengguna terhadapnya amat rendah.

 

''Namun, akibat perubahan yang disebabkan oleh COVID-19, kami telah menyaksikan kenaikan urus niaga sebanyak lima kali ganda secara berterusan. Kerjasama kami dengan AXA dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan kami untuk mendapatkan insurans daripada salah satu syarikat insurans terkemuka di Malaysia,” kata beliau.

 

Oleh kerana Malaysia mempunyai peratusan populasi pengguna digital tertinggi di Asia Tenggara,  inisiatif ini akan meningkatkan kebolehpasaran AXA dan seterusnya memenuhi keperluan digital para pelanggan. - DagangNews.com