Azalina letak jawatan Penasihat Khas Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Azalina letak jawatan Penasihat Khas Perdana Menteri

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, menerima peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia), Jabatan Perdana Menteri.

 

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Ahli Parlimen Pengerang itu sudah menghantar surat peletakan jawatan berkenaan pada 29 Ogos 2022.

 

 

"Perdana Menteri menerima peletakan jawatan itu dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

 

"Notis sebulan diberikan supaya dapat menyelesaikan kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September," menurut kenyataan itu.

 

Ismail Sabri Yaakob mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan Azalina diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

 

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa bekas Azalina itu meletak jawatan penasihat khas kepada Perdana Menteri, dipercayai ada kaitan isu kritikan ke atas badan kehakiman.

 

Beliau didakwa seperti menyindir Perdana Menteri berkaitan isu pelantikan Peguam Negara (AG) ketika berucap pada program Taklimat Khas Presiden UMNO, Sabtu lalu.

 

Pada program itu, Azalina menyampaikan ucapan penuh bersemangat berkaitan pelantikan AG dengan antara petikan mencetuskan kontroversi adalah 'takkan nak tukar AG pun tak boleh'.

 

Berikutan itu, beliau menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri, apatah lagi daripada pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan politik. - DagangNews.com