Badan kehakiman terus berfungsi sepanjang darurat | DagangNews Skip to main content

Badan kehakiman terus berfungsi sepanjang darurat

Badan kehakiman

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Kerajaan memberi jaminan bahawa badan kehakiman negara akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu adalah untuk menegakkan hukum dan keadilan. 

 

"Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan. 

 

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

 

"Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak pernah campur tangan dalam urusan pengadilan," jelas beliau dalam satu pengumuman khas darurat hari ini.

 

Dalam pengumuman khas tersebut, Muhyiddin memberitahu, beliau telah diterima menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda
mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat bagi seluruh Persekutuan.

 

Proklamasi Darurat yang dicadangkan itu berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

 

Proklamasi tersebut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin AI-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaln Billah.

 

Baginda perkenan untuk tempoh darurat itu dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

Baca: Agong perkenan Malaysia isytihar darurat hingga 1 Ogos

 

Tambah Muhyiddin, aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa.

 

Jelasnya, kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.

 

"Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

 

"Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran," ujarnya lagi. - DagangNews.com