Baharin Din
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Datuk Ir. Baharin Din dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuatkuasa 1 Mac 2021.
Beliau bakal menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang telah dilantik sebagai CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuatkuasa 1 Mac 2021.
Menurut TNB, Baharin kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, bertanggungjawab menerajui bahagian perniagaan paling besar di TNB.
Beliau telah berkhidmat selama 36 tahun di TNB, bermula 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan).
Jelas TNB, Baharin memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrikal dari Syracuse University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Bond University di Sydney.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin Baharin akan terus memacu TNB ke arah mencapai aspirasi strategik untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
“Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Baharin atas pelantikannya. Beliau memiliki pengalaman yang luas dan sentiasa memberi tumpuan untuk mencapai agenda pertumbuhan TNB yang hebat.
“Barisan Lembaga Pengarah ingin merakamkan penghargaan kepada Amir Hamzah atas sumbangan khidmatnya. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau gigih meningkatkan ketelusan dan tadbir urus korporat, selain mempertingkatkan kecekapan organisasi sebagai sebahagian daripada mandatnya.
Baca : Amir Hamzah letak jawatan CEO TNB, beralih ke KWSP
“Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha beliau meneruskan perkhidmatan kepada negara dalam peranan yang baharu,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh dua tahun lalu TNB berjaya menyempurnakan beberapa inisiatif utama berpandukan pelan strategiknya, termasuk melengkapkan usaha transformasi seperti penubuhan bahagian Penjanaan dan Retail sebagai subsidiari bebas, dan melengkapkan pemerolehan strategik aset tenaga boleh baharu di luar negara.
“Meskipun berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TNB kekal beroperasi dengan stabil dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya.
“Saya dan ahli Lembaga Pengarah yang lain berharap organisasi ini akan terus maju di bawah teraju kepimpinan Datuk Baharin,” tambah Mahdzir. - DagangNews.com