Bajet 2021, Biden sumbang 8.75 mata lonjakan saham Malaysia | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021, Biden sumbang 8.75 mata lonjakan saham Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pasaran saham Malaysia terus menunjukkan peningkatan dan melepasi paras 1,500 didorong sentimen Bajet 2021 yang masih berlegar selain kemenangan Joe Biden yang melonjak saham global.

Setakat 9.09 pagi, KLCI dibuka lebih tinggi iaitu mencecah paras 1,528.39, melonjak sebanyak 8.75 mata atau 0.58%.

Rakuten Trade Research berkata, KLCI dijangka dapat melepasi paras 1,500 dengan keyakinan tinggi. 

“Kami meramalkan indeks itu akan meneruskan trend meningkat lebih tinggi dengan paras 1,530 menjadi sasaran segera untuk menguji paras 1,550.

“Dalam pada itu, kami melihat harga minyak sawit mentah kekal stabil melepasi RM3,300 untuk setiap tan metrik sekali gus memberi kesan positif terhadap saham perladangan,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya hari ini. 

Pasaran tempatan menunjukkan keyakinan terhadap langkah baharu yang bakal dilaksanakan kerajaan dalam Bajet 2021, dijangka dapat membantu ekonomi negara kekal bertahan ketika kes penularan COVID-19 kian meningkat. 

Sementara itu, rata-rata saham global dijangka menunjukkan prestasi memberangsangkan setelah menerima impak positif apabila Biden dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) seterusnya ‘menyingkirkan’ Donald Trump. 

Memandangkan niaga hadapan AS kini diniagakan 300 mata lebih tinggi, maka pasaran serantau dijangka berdepan trend yang sama. 

Menurut Trading Economics, hampir semua pasaran di Asia Pasifik melonjak apabila dibuka hari ini, sekali gus mewujudkan momentum kukuh, bersambung daripada prestasi kukuh sejak minggu lalu. 

Kemenangan Biden telah melenyapkan ketidaktentuan yang berlegar dalam pasaran.

“Dalam masa sama, Demokrat dijangka tidak akan mengawal semula Senat, manakala di Dewan Rakyat, mereka bersedia dengan perolehan majoriti paling tipis dalam sekitar dua dekad, di mana bermaksud tidak mungkin ada pembaharuan yang signifikan atau kenaikan cukai korporat. - DagangNews.com