BAJET 2021: Industri pelancongan perlukan pelan tindakan serampang dua mata | DagangNews Skip to main content

BAJET 2021: Industri pelancongan perlukan pelan tindakan serampang dua mata

Pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Sektor pelancongan yang berkait secara langsung dengan industri hospitaliti terus bergelut dengan impak COVID-19 sekali gus meletakkan sektor berkenaan dalam kategori berisiko.

Ketua Malaysia dan Singapura OYO Hotels and Homes, Tan Ming Luk dalam satu kenyataan berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan golongan yang paling terkesan dalam sektor berkenaan.

Menilai kepada Bajet 2021 yang akan dibentangkan tidak dalam lagi, OYO Malaysia mencadangkan agar kerajaan membantu memulihkan industri pelancongan dengan cara yang selamat dan mapan.

Cadangan itu bersandarkan kepada pelan tindakan serampang dua mata yang menggabungkan bantuan kewangan dan bukan kewangan.


 

 

Merangsang pelancongan 


Terdapat keperluan untuk merangsang perniagaan PMKS yang berkaitan dengan pelancongan untuk jangka masa pendek dan sederhana. 

Keperluan itu tidak dilihat hanya dengan percukaian, sebaliknya menerusi peruntukan yang memberi lebih banyak manfaat bersasar.

Beliau mencadangkan satu insentif kewangan dalam bentuk baucar pelancongan digital bernilai RM200 untuk digunakan di hotel-hotel sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong di dalam negara bagi menyokong perniagaan berkaitan hospitaliti dan pelancongan. 

Baucar tersebut patut diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Kami mengesyorkan agar setiap orang layak untuk menerima baucar bernilai RM150 untuk penginapan dan RM50 untuk pengalaman. 

"Kami mencadangkan agar baucar ini diberikan dalam denominasi kecil bagi menggalakkan penerima bermalam di penginapan bajet serta nilai di mana purata kadar bilik adalah di antara RM50 hingga RM80 satu malam," katanya.

Langkah berkenaan juga akan memberi manfaat kepada rantaian bekalan sektor pelancongan khususnya makanan dan minuman (F&B) yang kebanyakannya dimiliki dan dikendalikan oleh kumpulan M40 dan B40.

Sementara itu, Malaysia juga boleh membuka laluan hijau atau gelembung pelancongan dengan destinasi zon hijau sebagai tarikan baharu di dalam pasaran global di samping mengekalkan keselamatan.

"Adalah penting untuk kita terus mencari cara yang kreatif untuk menarik dan mendapatkan perhatian mereka (pelancong luar negara) tatkala masyarakat dunia sedang mengimpikan percutian antarabangsa mereka yang seterusnya," ujarnya lagi.

 
 

Mengembalikan keyakinan

Pemain industri boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk mengembalikan keyakinan dan mengurangkan kerisauan dalam kalangan pelancong.

Jelasnya, usaha tersebut boleh dilakukan dengan mengetengahkan kejayaan Malaysia dalam membendung penularan COVID-19 dan meletakkan negara sebagai sebuah destinasi selamat.

Pelaksanaan label standard sebagai perakuan bahawa langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat mampu mengikis kebimbangan dalam kalangan pelancong.

Protokol kebangsaan yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah perlu untuk kekal konsisten dalam semua sektor awam dan swasta.  

 
 

Penyediaan bantuan kewangan

Industri pelancongan masih memerlukan bantuan dalam mengurangkan kos dan menyelesaikan isu aliran tunai hingga pelancongan antarabangsa kembali beroperasi.

Pihaknya memohon pengecualian sementara ke atas semua cukai jualan dan perkhidmatan dan yuran pelesenan selama setahun.

Bayaran ansuran cukai pendapatan juga perlu ditangguhkan selama tiga bulan lagi untuk PKS di dalam sektor pelancongan sehingga Disember 2020. 

Bagi membantu aliran tunai pula, beliau memohon pelanjutan program subsidi upah hingga Mac 2021 dan pengurangan sumbangan KWSP majikan daripada 12% kepada 8% hingga Mac 2021 atau sehingga vaksin boleh didapati.

Tambahnya lagi, OYO sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri dalam membentuk dan melaksanakan polisi penyelesaian bagi membantu ekonomi pelancongan dan hospitaliti. - DagangNews.com