Bajet 2021 : ‘Mata tertancap’ pada Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021 : ‘Mata tertancap’ pada Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Belanjawan 2021 kali ini bakal mencipta sejarah apabila menjadi pembentangan paling sukar sepanjang 63 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. 

 

Bebanan utama sudah tentu terletak pada bahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Bagi penganalisis, tiada seorang Perdana Menteri pun yang menerima cabaran hebat seperti Muhyiddin bagi pembentangan belanjawan negara, terutamanya apabila wujud gerakan tidak percaya terhadap beliau yang kini telah terkubur. 

 

Penganalisis Politik di Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development’, Wong Chin Huat percaya pemerhatian ketat pihak pembangkang terhadap belanjawan kali ini dirasai tegang, dengan blok berkenaan mungkin menekankan konsesi dan menggunakan elemen majoriti tidak pasti dari gabungan kerajaan. 

 

“Pemerhatian yang ketat dan cadangan konkrit untuk meminda rancangan Bajet 2021 - atau membangkangnya sekiranya kerajaan menolak - tidak boleh dilihat negatif seperti ‘politiking’.

 

“Bagi memastikan Bajet 2021 ini diluluskan dengan lancar selepas perdebatan tegang, kerajaan bertanggungjawab untuk mencapai ‘perjanjian kepercayaan dan penawaran’ dengan pembangkang,” katanya. 

aaa

Seperti senario politik sebelum ini, pihak kerajaan menerima sokongan penuh daripada ahlinya terhadap pembentangan belanjawan negara yang dibuat. 

 

Berbeza dengan Muhyiddin, beliau mengetuai gabungan Perikatan Nasional yang rapuh, bergantung kepada kedua-dua UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kekal berkuasa.

 

Pakatan Harapan sebelum ini telah mencadangkan 6 usul utama yang digelarkan sebagai belanjawan perpaduan. 

 

Usul berkenaan melibatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan, perlindungan pekerjaan dan perniagaan, bantuan berganda bagi pekerja berpendapatan rendah dan komuniti terjejas.

 

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi gambaran bahawa Belanjawan 2021 akan menumpukan ke arah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan semula ekonomi selain mencadangkan pembangunan perancangan. - DagangNews.com