Bajet 2021: Peruntukan lebih tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021: Peruntukan lebih tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Bajet 2021 menjelang 6 November depan dijangka meletakkan peruntukan lebih tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan. 

Ini bagi menyokong langkah-langkah untuk mengekang penularan COVID-19 menerusi Kementerian Kesihatan dan kementerian yang terlibat. 

Ekonomi-ekonomi di seluruh dunia termasuk Malaysia masih bergantung kepada kesediaan vaksin bagi mendorong pemulihan sepenuhnya. 

Sekiranya tidak, penularan gelombang COVID-19 yang lebih buruk bakal membantutkan pertumbuhan ekonomi pada suku keempat 2020 dan tahun 2021. 

Menggambarkan ketidakpastian di sekitar kemungkinan gelombang ketiga COVID-19, kekuatan dan jalan pemulihan ekonomi pada tahun 2021 masih tidak menentu.

Kebimbangan, kegelisahan dan tekanan mengenai peningkatan jumlah kes jangkitan baharu akan merencatkan pemulihan sentimen pengguna sepenuhnya dan keyakinan perniagaan yang perlahan.

 

Lee Heng Guie
Lee Heng Guie

 

“Keadaan ekonomi dan perniagaan yang tidak menentu dan lemah pada masa ini tidak mampu menangani sekiranya aktiviti diberhentikan secara mendadak ekoran perintah berkurung sepenuhnya,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie, menurut laporan Bernama.

Bajet 2021 bakal dibentangkan ketika ekonomi masih terjejas akibat pandemik COVID-19.

Susulan itu, fiskal yang dilaksanakan secara teliti dapat membantu melonjakkan semula permintaan walaupun defisit fiskal akan mengembang lebih besar berbanding jangkaan. 

Tambah Heng Guie, Kerangka Kestabilan Fiskal bagi tempoh lima tahun perlu dirangka untuk menetapkan semula jalan penggabungan fiskal yang merangkumi rasionalisasi dan pengoptimuman perbelanjaan operasi dan pembangunan, perluasan asas pendapatan, pengukuhan kecekapan cukai, mengatasi jurang cukai dan ekonomi bayangan serta membendung hutang langsung dan kewajipan  kerajaan.

“Apabila pertumbuhan pulih, defisit fiskal dapat diatasi pada tahun-tahun mendatang melalui pelaksanaan kerangka penggabungan fiskal yang dipercayai dan kukuh dalam jangka masa sederhana.

“Kami percaya agensi penarafan global akan memberi ruang untuk kerajaan menambah baik ekonomi walaupun terdapat kemerosotan fiskal sementara, selagi kerajaan kekal komited ke arah penggabungan fiskal apabila ekonomi pulih,” katanya. - DagangNews.com