Bajet 2021, pilihan raya AS dorong KLCI dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021, pilihan raya AS dorong KLCI dibuka tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Perhatian pelabur kini tertumpu kepada keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan pembentangan Bajet 2021 di Malaysia, sekali gus mendorong saham tempatan untuk dibuka lebih tinggi. 

Setakat 9.01 pagi, KLCI menokok 2.22 mata atau 0.15%, mencecah paras 1,463.67.

Bagaimanapun, Rakuten Trade Research menjangkakan indeks KLCI akan berlegar dalam lingkungan 1,470 atau 1,475 susulan peningkatan kes COVID-19 dan kajian semula prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa. 

“Para pelabur mempertaruhkan pemenang yang jelas dalam pilihan raya AS memandangkan DJI Average melonjak lebih 550 mata menghampiri paras 27,500. 

“Namun, penangguhan IPO Ant di Bursa Shanghai dan Hong Kong bakal menyaksikan sentimen kebimbangan dalam pasaran terbesar Asia yang seterusnya meluas ke bursa serantau,” kata Rakuten Trade. 

Sementara itu, Trading Economics berkata, saham global meningkat dengan niaga hadapan AS dibuka bercampur-campur memandangkan para pelabur meletakkan harapan terhadap keputusan pilihan raya AS itu. 

“Undian di Indiana dan Kentucky ditutup, dengan keputusan awal menggambarkan Presiden Donald Trump memenangi undian di kedua-dua negeri itu seperti yang dijangkakan. 

“Di Florida yang merupakan negeri persaingan, perbezaan antara undian Trump dan Joe Biden jauh lebih ketat. 

“Pasaran juga tertumpu kepada beberapa perlumbaan Dewan Senat utama yang mungkin menyumbang kepada Demokrat untuk mengambil alih Kongres,” kata Trading Economics. 

Di Malaysia pula, para pelabur ternanti-nanti keputusan langkah fiskal yang bakal dirungkai menerusi Bajet 2021 pada 6 November ini. 

Memandangkan semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat keputusan untuk tidak menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR), maka Bajet 2021 menjadi satu-satunya penyuntik pemulihan ekonomi ketika ini. - DagangNews.com