Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan memperuntukan sejumlah RM332.1 bilion bagi Bajet 2022, yang merupakan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, kerajaan bercadang untuk menyediakan RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.
"Sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.
"Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5% pada 2021," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2021 di Parlimen hari ini.
Tambahnya, Bajet 2022 dirangka dengan dengan mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun 2022 kepada RM234 bilion ringgit.
Beliau berkata, Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini.
"Ia juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah Bajet yang inklusif, mampan dan seimbang," katanya. -DagangNews.Com