Bajet 2022 'kurang menarik', Sunway Construction mungkin berkembang di India - HLIB | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 'kurang menarik', Sunway Construction mungkin berkembang di India - HLIB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Sunway Construction Group Bhd. mungkin perlu memanfaatkan kehadirannya di India berikutan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kurang memberi impak kepada sektor pembinaan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Ini kerana negara tersebut merancang untuk menggandakan rangkaian lebuh raya menjelang 2025 seperti digariskan di bawah pelan induk infrastruktur nasional bernilai AS$1.5 trilion (tempoh selama 25 tahun). 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Edwin Woo berkata, pemberian kontrak yang boleh menjadi kenyataan masih tidak menentu memandangkan sebahagian tender adalah dalaman dan secara individu agak besar.

 

"Bagaimanapun, dengan masa yang semakin suntuk, kami mengurangkan anggaran nilai kontrak bagi tahun kewangan 2021 (FY21) kepada RM1.5 bilion daripada RM1.7 bilion. Nilai tender kebanyakannya tidak berubah pada RM8 bilion (dengan 20% di luar negara)," katanya hari ini.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, untung bersih Sunway Construction susut 19.74% kepada RM19.3 juta daripada RM24.04 juta tempoh sama tahun sebelumnya berikutan prestasi lemah bagi segmen pembinaan dan pratuang. 

 

Segmen pembinaan pada suku dikaji diheret turun pendapatan lebih rendah merosot 35.12% kepada RM272.08 juta berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM419.41 juta disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dengan kelonggaran hanya diberikan kerajaan mulai pertengahan Ogos. 

 

Sebaliknya, bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih kumpulan berkembang 12.39% kepada RM47.86 juta manakala pendapatan meningkat 19.14% kepada RM1.1 bilion.

 

Bagi segmen pratuang, Woo berkata, sekiranya harga keluli mengalami penurunan, pesanan kontrak yang diperoleh tahun ini mungkin menunjukkan kenaikan margin.

 

Katanya, bantuan yang diberikan kontraktor utama menerusi kerajaan Singapura mungkin boleh mengurangkan impak ini. 

 

"Tetapi, kami berpendapat masih wujud cabaran dalam tempoh terdekat memandangkan aktiviti pembinaan Singapura masih kekal lemah kerana pekerja asing menurun sehingga 20% sejak pandemik COVID-19. 

 

"Pemain sektor pembinaan di Singapura juga bersiap sedia dengan penangguhan seterusnya apabila laluan perjalanan vaksinasi (VTL) dilancarkan akhir November ini," jelasnya. 

 

Mengenai Cukai Makmur, menurut Woo, Sunway Construction menganggap ia boleh diabaikan kerana anak-anak syarikatnya secara individu tidak dijangka menjana lebih daripada RM100 juta pada FY22. 

 

"Namun, kami berpendapat, bagi pengecualian cukai daripada sumber pendapatan asing yang dimansuhkan, kumpulan mempunyai operasi di India dan Singapura yang tertakluk kepada pengelakkan cukai berganda dengan Malaysia, yang mana impaknya boleh dikurangkan sebahagian besarnya menerusi tuntuan kredit cukai," katanya.

 

Mengambil kira semua faktor ini, HLIB mengurangkan unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 4.4% dan 3.6% selepas mengurangkan anggaran perolehan kontrak. 

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Construction dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.80 berbanding RM1.87 sebelum ini. 

 

Setakat 11.32 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.64% kepada RM1.57 dengan 240,400 saham diniagakan. - DagangNews.com