Bajet 2023 : Beri penekanan kepada peralihan tenaga, mesra ESG - kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Beri penekanan kepada peralihan tenaga, mesra ESG - kata penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Sept - Bajet 2023 dijangka terus memberi penekanan kepada peralihan tenaga dengan lebih banyak pendekatan mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dilaksanakan kerajaan. 

 

Penganalisis RHB Research, Sean Lim berkata, Tenaga Nasional Bhd. juga telah mencadangkan insentif cukai kepada pengendali titik pengecasan (CPO), rebat cukai dan pengecualian kenderaan dan bas barangan import sepenuhnya sehingga 2026.

 

Katanya, ia bagi membantu syarikat dalam pembelian kenderaan elektrik (EV) dan memansuhkan harga lantai bagi model import sepenuhnya (CBU) (sedia ada RM250,000) bagi membolehkan lebih banyak kenderaan asing mampu milik.

 

"Sementara itu, berdasarkan semakan kami, insentif cukai bagi kediaman dan insentif cukai ke atas teknologi baharu (iaitu penyimpanan bateri) merupakan antara harapan daripada pemain solar dalam bajet kali ini. 

 

"Malah, syarikat juga berharap kerajaan boleh menurunkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta cukai import bagi alat ganti solar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 dijangka pada 7 Oktober ini yang dilihat sebagai bajet terbesar dalam sejarah negara.

 

 

gambar hiasan

 

 

Dalam pada itu, menurut Lim, kerajaan sedang meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 1,200MW untuk sumber solar, sebagai langkah awal untuk meningkatkan komitmen negara terhadap peralihan tenaga.

 

"Kuota baharu itu akan diagihkan melalui program di bawah mekanisme sedia ada, termasuk Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) dan pemasangan solar pada bumbung bangunan.

 

"Berdasarkan laporan media sebelum ini, tawaran kuota 600MW itu adalah bagi peruntukan pilihan baharu untuk perolehan bakalan tenaga elektrik hijau kepada syarikat menerusi konsep perjanjian pembelian tenaga (PPA) maya, bermula suku keempat 2022," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Mengenai ICPT, beliau berkata, pemulihan permintaan elektrik secara dasarnya kekal dalam keadaan yang kukuh, tetapi operasi aliran tunai TNB masih berada dalam tekanan sekiranya harga bahan api terus meningkat.

 

Katanya, TNB mengenalpasti caj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) sebanyak RM9.8 bilion pada separuh pertama 2022 dan 63% atau RM12 bilion daripada RM19.2 bilion akaun tidak terima adalah berkaitan ICPT.

 

"Kami diberi panduan bahawa subsidi bahan api sebanyak RM5.8 bilion pada separuh pertama dibahagikan kepada pembayaran bulanan pada separuh kedua 2022, di mana TNB sedang memproses pembayaran pada Julai dan Ogos. 

 

"Bagi menguruskan keperluan modal kerja yang semakin meningkat, kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan jaminan kewangan sehingga RM6 bilion, dan peraturan berasaskan insentif (IBR) membolehkan TNB mendapatkan semula kos modal kerja melalui kadar imbuhan ICPT.

 

"Namun, dengan harga bahan api yang masih tinggi, aliran tunai operasi TNB masih kekal di bawah tekanan. Jika kerajaan mengekalkan kadar tarif pada separuh pertama 2023, subsidi bahan api yang lebih tinggi diperlukan untuk merapatkan jurang ini," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tenaga dengan pilihan utamanya ialah saham Ranhill Utilities Bhd. dan YTL Power International Bhd. - DagangNews.com