Bajet 2023 tiada 'kejutan' besar buat sektor hartanah, isu utama masih tidak selesai | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 tiada 'kejutan' besar buat sektor hartanah, isu utama masih tidak selesai

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Okt - Pengumuman pengecualian setem duti dilihat tidak banyak membantu merangsang semula sektor hartanah yang dibelenggu dengan persekitaran kadar faedah tinggi dan ketidaktentuan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

 

Penganalisis Maybank Investment Bank (IB), Wong Wei Sum berkata, Bajet 2023 dijangka memberi impak sederhana kepada keseluruhan pasaran hartanah tempatan walaupun ia memberi kelegaan kepada kos operasi pemaju kerana mereka akan menyerap duti setem pembeli bergantung kepada kebolehpasaran projek.

 

Namun, beliau tidak menjangkakan kerajaan akan memberi pengurangan lagi dalam duti setem bagi hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta selepas melancarkan Inisiatif Pemilikan Kediaman Keluarga Malaysia (i-Miliki) pada pertengahan Julai lalu.

 

Menerusi inisiatif itu, kerajaan memberi pengecualian duti setem 100% bagi pembeli rumah pertama untuk hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah dan 50% hartanah berharga RM500,000 hingga RM1 juta.

 

"Walaupun kami terkejut dengan pengumuman dalam Bajet 2023 bagi sektor hartanah, tetapi kami menjangkakan kesan yang tidak berubah ke atas jualan hartanah berbanding ketika Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 2019 dan Jun 2020-2021.

 

"Ini disebabkan kadar dasar semalam (OPR) yang lebih tinggi, setakat ini sudah meningkat 75 mata asas kepada 2.5% yang boleh menjejaskan kemampuan pembeli rumah.

 

"Kami berpendapat, kenaikan OPR pada suku keempat ini dan seterusnya pada 2023 dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas lagi serta ketidaktentuan politik menjelang PRU15 kekal menjadi risiko utama kepada sektor hartanah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Baca : Bajet 2023: Pengecualian duti setem bagi rumah lebih RM500,00 dinaikkan kepada 75% sehingga 31 Dis 2023

 

Dalam pembentangan Bajet 2023, Jumaat lalu, kerajaan memberi pengecualian bayaran duti setem bagi urusan surat cara pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman bagi rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta, akan dinaikkan daripada 50% kepada 75% sehingga 31 Disember 2023.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai contoh, pengecualian 100% atas pembelian rumah bernilai RM300,000 bakal menjimatkan RM6,500 sementara pengecualian 75% atas pembelian rumah RM750,000 bakal menjimatkan wang rakyat sebanyak RM15,000.

 

Sementara itu, penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen berkata, pembentangan Bajet 2023 menyaksikan tiada sebarang kejutan besar yang diumumkan kerajaan buat sektor hartanah 

 

Jelasnya, pengecualian duti setem yang banyak tidak mencukupi untuk membantu pembeli hartanah membuat keputusan terutamanya dalam persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat.

 

"Dengan kenaikan OPR setakat ini sebanyak 75 mata asas, akan meningkatkan kadar gadai janji antara 3.6% hingga 3.9% berbanding paras rendah 2.95% hingga 3% sebelum ini. 

 

"Walaupun jualan hartanah dilihat agak menggalakkan pada separuh pertama, kami berpendapat momentum akan mula berkurangan pada separuh kedua ini memandangkan kenaikan OPR bermula pada Mei," katanya.

 

Berdasarkan situasi itu, menurutnya, pembeli rumah cenderung lebih sensitif terhadap kenaikan kadar di tengah-tengah persekitaran inflasi.

 

Ini kerana, katanya, setiap kenaikan 25 mata asas dalam OPR akan membawa kepada kenaikan antara 3.2% hingga 3.5% dalam pembayaran balik gadai janji bulanan. 

 

"Selain itu, kami juga menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan pada tahun hadapan kepada 4.5% berbanding 6% bagi 2022," jelasnya.

 

Pada masa sama, Kok Wen berkata, kerajaan tidak menangani isu mengenai kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan buruh dalam Bajet 2023 dan ia kekal tiada jalan penyelesaian.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan tekanan ke atas margin keuntungan pemaju akan lebih ketara pada separuh kedua memandangkan pengebilan mungkin kekal perlahan, dengan harga hartanah tidak meningkat secara ketara untuk menampung kos tambahan," katanya.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB dan RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah. -DagangNews.com