KUALA LUMPUR 22 Mac - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yakin bakal pendidik berada di landasan tepat untuk mengukir masa depan pendidikan negara yang lebih gemilang.
Beliau berkata, dengan keyakinan, kerja keras dan strategi yang betul berserta tawakal kepada Allah, mereka mampu buat yang terbaik.
"Semoga pegangan yang baik boleh dijadikan panduan dan pedoman bakal guru yang akan mendidik generasi pewaris negara.
"Prinsip saya mudah, apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan, nothing beats hard work!," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dr Radzi malam tadi meluangkan masa berkunjung ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, selepas seharian meninjau pengoperasian hari pertama sesi baharu persekolahan di Perak.
Beliau turut berkongsi pengalaman dan pegangan hidup dalam menempuhi ranjau di sepanjang perantauan dari Kampung Ketereh sehingga ke Melbourne, Canberra, Sydney dan Hobart serta 'singgah sebentar' di Putrajaya.
"Saya juga bercerita mengenai cabaran semasa dan masa depan pendidikan, termasuk bidang keguruan khususnya selepas sektor penting ini menerima kesan akibat pandemik COVID-19. Dijelaskan juga tentang konsep Sekolahku SEJAHTERA.
"Bakal-bakal guru ini juga diberi ruang seluasnya mengemukakan soalan, pandangan dan saranan berkaitan hal perguruan serta bidang pendidikan yang kesemuanya telah saya jawab, ulas serta perincikan satu persatu.
"Anak-anak di IPG yang turut serta bolehkan kongsikan intipati cerita dengan rakan-rakan lain," katanya. - DagangNews.com