Bandar Putra Kulai dijangka pacu jualan hartanah IOI Properties - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Bandar Putra Kulai dijangka pacu jualan hartanah IOI Properties - RHB Investment

RHB Investment kekalkan saranan beli saham IOIPG pada harga sasaran (TP) baharu RM2.50 sesaham./ Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Jan - Projek perbandaran Bandar Putra Kulai yang sedang dibangunkan IOI Properties Group Berhad (IOIPG) dijangka memacu jualan sektor hartanah syarikat itu untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Menurut RHB Investment, jangkaan ini mengambil kira projek yang sedang dan akan dibina di perbandaran tersebut yang bakal dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh 25 tahun.

 

Kata firma penyelidikan itu, ini turut meliputi pembangunan YTL Green Data Centre Park dan kemungkinan pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang terletak kira-kira 15 minit dari bandar tersebut.

 

"Sebagai tambahan, IOIPG telah menjual 163.4 hektar tanah bukan teras di Kulai kepada Eco World pada September tahun lalu untuk kawasan perindustrian.

 

"Semua pembangunan ini akan meningkatkan permintaan kepada hartanah di kawasan tersebut," kata RHB Investment dalam nota kajian hari ini.

 

Sejajar dengan potensi Bandar Putra Kulai, firma tersebut mengekalkan saranan beli saham IOIPG pada harga sasaran (TP) baharu RM2.50 sesaham berbanding RM2.10 sebelum ini.

 

"Kami tingkatkan harga sasaran IOIPG berikutan sentimen pasaran yang bertambah baik dan permintaan yang meningkat untuk hartanah pada tahun ini," jelasnya.

 

Kata RHB Investment, aktiviti perindustrian di kawasan Bandar Putra Kulai juga dijangkakan terus berkembang dan ini akan memacu hartanah syarikat.

 

IOIPG juga masih mempunyai 1,405.8 hektar tanah yang belum dibangunkan di lokasi tersebut iaitu 67 peratus daripada jumlah baki portfolio.

 

Bandar Putra Kulai mencatatkan rekod jualan sebanyak RM525 juta pada 2023, meningkat sekali ganda daripada RM250 juta pada 2022. 

 

Jualan di Bandar Putra Kulai juga menyumbang kepada 27 peratus jumlah jualan keseluruhan IOIPG pada 2023 yang berjumlah RM1.96 bilion.

 

"Jualan hartanah IOIPG di Johor pula mencecah nilai RM515 juta pada 2023, peningkatkan 55 peratus berbanding 2022," kata RHB Investment bank.

 

Dalam pada itu, firma tersebut turut menjangkakan sektor peruncitan dan hotel IOIPG juga akan mencatatkan prestasi baik pada 2024.

 

IOI City Mall dan hotel di sekitar pusat beli-belah itu akan menerima manfaat daripada kedatangan semula pelancong asing ke negara ini yang dirancakkan lagi dengan pengecualian visa 30 hari kepada pelawat dari India dan China.

 

"Kami percaya hotel dan pusat beli-belah IOIPG di Putrajaya akan mencatatkan prestasi sangat baik," kata RHB Investment.- DagangNews.com