Banjir: Sharp Malaysia sumbang barangan elektrik bernilai RM383,827 kepada sekolah di Selangor dan Pahang | DagangNews Skip to main content

Banjir: Sharp Malaysia sumbang barangan elektrik bernilai RM383,827 kepada sekolah di Selangor dan Pahang

Penyerahan barangan electrik kepada wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Dan Pahang
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac - Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (Sharp Malaysia) hari ini menyumbang barangan elektrik bernilai RM383,827 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membina semula sekolah yang terkesan oleh banjir di beberapa daerah di Selangor dan Pahang.

 

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan turut disertai Timbalan Pengarah Sektor Pengintegrasian Teknologi Pendidikan, Paridon Sahid; wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Datin Nor Faridah A. Bakar dan Ab Muhaimin Ab Hamid; wakil Pahang, Pengarah Urusan Sharp Malaysia, Ting Yang Chung.

 

Sharp Malaysia menyediakan sejumlah 976 unit barangan elektrik kepada 44 sekolah di Selangor dan 56 sekolah di Pahang. KPM dan wakil JPN di kedua-dua negeri telah berganding bahu menyenarai pendekkan sekolah untuk inisiatif ini.

 

Dengan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, Sharp Malaysia berusaha menghulurkan bantuan dengan memanfaatkan sumber dan pengetahuan teknologi yang dimilikinya untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dan menambah baik kehidupan masyarakat terutamanya dengan pembukaan semula sekolah tidak lama lagi. 

 

Sharp Malaysia melihat kepentingan pendidikan terhadap generasi muda dan percaya bahawa menyediakan akses teknologi dan meningkatkan kecekapan adalah kunci utama dalam memacu digitalisasi di abad ke-21 ini, yang bertepatan dengan visi dan matlamat KPM.

 

Hang Soon berkata, matlamatnya adalah untuk memastikan pelajar yang terkesan dengan bencana banjir dan juga pandemik dapat meneruskan pembelajaran. 

 

 

sharp
Lintas langsung demonstrasi sistem kelas pintar dari SJKC Bandar Kajang 2

 

 

"Jalinan kerjasama yang rapat dengan pihak swasta seperti Sharp Malaysia amat penting untuk menyediakan pelajar dengan kemudahan yang diperlukan bagi membolehkan mereka mempunyai persekitaran yang selesa untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran.

 

 

sharp
Ting Yang Chung memberi penerangan kepada Datuk Dr. Mah Hang Soon mengenai produk jenama Sharp yang diserahkan kepada sekolah-sekolah di Selangor dan Pahang yang terjejas akibat banjir

 

 

“Kementerian Pendidikan secara berterusan ingin menggalakkan agenda digital negara sebagaimana yang dapat dilihat daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan. Kita semua perlu berganding bahu membantu golongan pendidik untuk menggunakan teknologi dengan lebih baik dan membolehkan pelajar memanfaatkannya dengan sebaik mungkin pada masa hadapan,” katanya.

 

Penerima sumbangan merupakan 100 sekolah yang berdaftar di bawah KPM, iaitu sekolah-sekolah kerajaan dan sekolah-sekolah bantuan kerajaan termasuk sekolah bandar dan luar bandar melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Kebangsaan, dan Sekolah Agama. 

 

 

sharp

 

 

Antara barangan elektrik yang disumbangkan kepada sekolah-sekolah ini adalah kipas siling, kipas dinding, kipas berdiri, penyaman udara, cerek, peti ais dan televisyen. Sharp juga menawarkan diskaun sehingga 50% kepada sekolah-sekolah untuk pembelian barangan Sharp.

 

Yang Chung pula berkata, syarikat memberi tumpuan terhadap kesejahteraan masyarakat dan berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan KPM dan menyokong pembangunan semula sekolah-sekolah ini. 

 

 

sharp

 

 

"Melalui penyelesaian bilik darjah pintar, kami dapat membantu sekolah untuk bersiap sedia ke arah digitalisasi pendidikan. Seiring dengan pelan tindakan terkini KPM, Sharp komited untuk menyokong sistem pendidikan Malaysia bagi memaksimumkan keberhasilan pelajar dan meningkatkan kecekapan," katanya.

 

Katanya, sebagai perintis penyelesaian bilik darjah pintar, Sharp telah menyediakan penyelesaian papan putih interaktif di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom dan Eropah sejak 10 tahun lalu. - DagangNews.com