Bank bagi jaminan mudahkan proses moratorium | DagangNews Skip to main content

Bank bagi jaminan mudahkan proses moratorium

 


KUALA LUMPUR 29 Jun - Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam (AIBIM) akan berusaha membantu mempermudahkan urusan pemberian moratorium dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

 

Malah, bank-bank ini juga memberi jaminan rekod peminjam yang mengambil moratorium ini tidak akan dipaparkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) selaras dengan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM).

 

"Peminjam juga tidak perlu bimbang kesannya ke atas profil kredit mereka pada masa depan," katanya dalam kenyataan bersama hari ini. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro mulai 7 Julai ini di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

Pemberian moratorium ini tidak memerlukan sebarang syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan dokumen perlu dikemukakan untuk permohonan moratorium kerana kelulusan akan diberikan secara automatik. 

 

Baca : PM : Moratorium untuk semua, automatik 6 bulan

 

Menurut ABM dan AIBIM, pihaknya menyedari kekangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat berikutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara dilanjutkan lagi.  

 

Katanya, pemberian moratorium itu akan diberikan bagi tempoh enam bulan bagi semua kemudahan kredit kecuali bagi kad kredit.

 

Golongan yang layak mendapatkan moratorium ini ialah semua peminjam individu termasuk golongan B40, M40 dan T20.

 

Selain itu katanya, semua perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dengan pandemik COVID-19 juga layak.

 

"Bagi kemudahan kad kredit, bank akan menawarkan untuk menukar baki hutang kepada tempoh 3 tahun pinjaman atau pembiayaan dengan kadar faedah atau keuntungan dikurangkan bagi membantu peminjam menguruskan hutang mereka dengan lebih baik," katanya.

 

Di bawah skim moratorium ini juga, peminjam atau pelanggan hanya diminta menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan kemudahan ini dan kelulusan akan diberikan secara automatik.

 

"Bank komited untuk memastikan proses ini berjalan lancar dan semudah mungkin tanpa memerlukan dokumen sokongan untuk tujuan kelulusan," tegasnya.

 

Bagaimanapun, ABM dan AIBIM berkata, dengan mengambil kira jumlah permohonan yang banyak dan kekangan PKP terhadap operasi bank, mungkin terdapat cabaran operasi di peringkat awal.

 

"Namun, kesemua ahli perbankan akan memastikan isu berkenaan dapat ditangani tepat pada masanya," katanya.

 

Moratorium automatik itu terpakai untuk pinjaman atau pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.

 

Peminjam atau pelanggan yang ingin mengambil moratorium ini perlu menghubungi bank mereka bermula 7 Julai ini dan seterusnya.

 

Dalam masa sama, katanya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga bersedia untuk menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada peminjam individu dan mikro termasuk menstrukturkan semula hutang. - DagangNews.com