Bank Islam, Amanah Warisan bekerjasama sedia perkhidmatan perancangan harta pusaka menerusi penulisan wasiat | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, Amanah Warisan bekerjasama sedia perkhidmatan perancangan harta pusaka menerusi penulisan wasiat

KUALA LUMPUR 12 Dis - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bekerjasama dengan Amanah Warisan Berhad (AWARIS) bagi memperluaskan akses perkhidmatan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai perancangan harta pusaka melalui penulisan wasiat serta pengurusan perwarisan.

 

Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Zaharah Abdul Muttalib berkata, Bank Islam berperanan sebagai saluran pengedaran bagi rumusan pengurusan perwarisan AWARIS yang terbuka kepada pelanggan beragama Islam dan bukan Islam.


Beliau berkata, penyediaan perkhidmatan itu juga seiring dengan aspirasi Bank Islam bagi menyediakan rumusan kewangan lengkap dan fokus kepada keperluan pelanggan.

 

"Jalinan kerjasama ini amat penting dalam menyokong pengurusan kewangan dan harta pusaka pelanggan bagi menjaga kesejahteraan kehidupan mereka serta waris yang layak.

 

"Selain itu, usaha sama Bank Islam-AWARIS ini dilihat akan mampu menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan kedua-dua pihak serta industri," katanya selepas majlis memeterai dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AWARIS, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz.

 

Zaharah berkata, Bank Islam juga akan terus mempromosikan perkhidmatan terbaharu itu disebabkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan harta pusaka melalui penulisan wasiat serta pengurusan perwarisan dikalangan rakyat adalah masih rendah.

 

Beliau berkata, kesedaran perlu dipertingkatkan kerana kebanyakan rakyat terutamanya yang beragama Islam masih belum terbuka atau memahami kepentingan pengurusan harta pusaka, yang boleh menimbulkan pelbagai masalah berbangkit jika berlakunya pertikaian.

 

"Bank Islam menyasarkan kenaikan sebanyak 60% dalam segmen perniagaan pengurusan kekayaan menjelang akhir 2025," katanya.

 

Ketika ini, keuntungan daripada perniagaan pengurusan kekayaan merangkumi tujuh peratus daripada keseluruhan jumlah keuntungan perniagaan perbankan peruncitan Bank Islam.

 

Sementara itu, Ahmad Saruji berkata, matlamat utama kerjasama strategik kedua-dua pihak itu adalah untuk membolehkan lebih ramai rakyat memiliki wasiat berkualiti yang akan menyegerakan pentadbiran harta pusaka berwasiat.

 

"Orang ramai boleh mendapatkan akses perkhidmatan pengurusan perwarisan AWARIS pada kadar RM500 untuk Wasiat Platinum (Muslim & Konvensional) dan RM1,200 untuk Wasiat Premier (Muslim & Konvensional) dengan hanya mengunjungi mana-mana daripada 135 cawangan Bank Islam di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com