Bank Islam bantu 350,000 pelanggan terjejas akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam bantu 350,000 pelanggan terjejas akibat COVID-19

 

 


KUALA LUMPUR 25 Jan. - Bank Islam Malaysia Berhad telah membantu 350,000 pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi kemudahan bantuan pembayaran semula pembiayaan. 

 

Ia melibatkan baki anggaran pembiayaan pelanggan berjumlah kira-kira RM37.9 bilion, dari 1 April hingga 31 Disember 2020.

 

Bank Islam telah memberikan bantuan moratorium selama 6 bulan dari April hingga September 2020 yang kemudiannya menjadi Program Prihatin Bersasar, khusus untuk pelanggan yang kehilangan pekerjaan serta mengalami pengurangan pendapatan.

 

Pada November 2020, Bank Islam telah mengumumkan penambahbaikan kepada Program Prihatin Bersasar yang turut merangkumi golongan B40, M40 dan perusahaan mikro yang terkesan ekoran pandemik ini. 

 

Bagi terus mengurangkan bebanan kewangan pelanggan, pihak Bank juga menyediakan pilihan Penjadualan dan
Penstrukturan Semula Pembiayaan untuk pelanggan yang tidak mengalami kehilangan atau pengurangan punca pendapatan tetapi mempunyai keperluan untuk menyusun semula kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sejak pelaksanaan Program Prihatin Bersasar pada Oktober 2020, hampir 24,000 permohonan dengan amaun baki pembiayaan berjumlah melebihi RM3 bilion telah diluluskan di bawah program tersebut. 

 

Katanya, pihak Bank Islam telah berkomunikasi secara konsisten dengan para pelanggan untuk menyediakan sokongan yang mereka perlukan. 

 

"Bank sentiasa bersedia untuk menerima permohonan pelanggan. Kami menyeru agar pelanggan tampil dan
menghubungi kami untuk mendapatkan penyelesaian kewangan terbaik yangdisediakan," katanya dalam kenyataan.

 

Bagi memenuhi keperluan perbankan pelanggan, Bank Islam memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan berterusan boleh dinikmati melalui platform perbankan mudah alih dan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

 

Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26 900 900 atau mengimbas Kod QR di bawah bagi memohon bantuan pembayaran balik pasca moratorium Bank Islam. 

 

Bantuan pembayaran semula pembiayaan ini disediakan sehingga 30 Jun 2021. - DagangNews.com