KUALA LUMPUR 19 Julai - Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) diramal mencatatkan pendapatan pada suku kedua 2024 lebih baik daripada RM129 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
AmInvestment Bank Bhd berkata, ramalan itu adalah berdasarkan peningkatan sederhana dalam pertumbuhan pembiayaan, nisbah margin faedah bersih (NIM) dan nisbah susut nilai kewangan (GIF) kekal bertahan tetapi pada masa sama menjangkakan pendapatan bukan berasaskan dana dalah hambar.
Katanya, bank itu merekodkan pertumbuhan pembiayaan kasar sebanyak 2.4% pada suu pertama berada di bawah pengembangan industri sebanyak 6%.
Firma penyelidikan itu berkata, suku kedua mungkin menyaksikan peningkatan sederhana dalam pertumbuhan pembiayaan berikutan daya tarikan yang lebih baik dalam pembiayaan runcit, disokong oleh pertumbuhan dalam pembiayaan peribadi.
"Sementara itu, pertumbuhan dalam pembiayaan institusi (komersial dan korporat) kekal perlahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
AmInvestment berkata, persaingan deposit berterusan dengan didorong kempen daripada bank-bank lain namun kadar deposit tetap (FD) adalah lebih rasionak berbanding akhir 2022 dan awal 2023.
Katanya, campuran akaun deposit dan pelaburan individu terus rendah iaitu hanya melebihi 20% manakala nisbah jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) kumpulan lebih daripada 36% kekal melebihi 31% industri perbankan.
"Kami menjangkakan pendapatan bukan berasaskan dana pada suku kedua tahun ini berkurangan di tengah-tengah pendapatan pelaburan yang tidak berubah.
"Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan yuran dan komisen daripada bankatakaful, pengurusan kekayaan dan pembiayaan perdagangan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM2.65 sesaham.- DagangNews.com