Bank Islam-HDC perkenal dana Go Halal SME berjumlah RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Bank Islam-HDC perkenal dana Go Halal SME berjumlah RM100 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan baharu, Go Halal SME dengan permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta.

 

Dana itu ditawarkan dengan kerjasama antara Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Bank Islam
Malaysia Berhad (Bank Islam).

 

Program ini turut membiayai proses pensijilan halal, kos sumbangan Takaful dan memenuhi keperluan modal kerja serta perbelanjaan modal perniagaan.

 

Ia menyediakan jumlah pembiayaan bernilai RM100,000 sehingga RM1 juta bagi perniagaan pemilik persendirian dan perkongsian manakala RM100,000 sehingga RM3 juta ke atas bagi perniagaan Sdn. Bhd. dengan tempoh pembayaran semula selama 7 tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, kerjasama ini dianggap sebagai satu bentuk usaha sama bermanfaat kerana ia menggalakkan penyertaan penggiat sektor bagi pembangunan ekosistem dan perkembangan industri halal negara.

 

Katanya, penyediaan kemudahan pembiayaan Go Halal SME, bundling atau penggabungan produk serta penawaran digital menerusi aplikasi mudah alih maklumat dan rujukan sehenti peniaga yang dikenali sebagai SMEXpert bersama Halal Integrated Platform (HIP) HDC, pasti akan membantu PKS dalam membentuk perniagaan yang lebih berstruktur. 

 

"Ini turut memastikan bahawa PKS terlibat, dapat bersaing dan menyesuaikan perniagaan yang dijalankan dalam pasaran yang pesat berkembang, khasnya dari aspek transformasi digital," katanya. 

 

 

bank islam
Mohd. Muazzam Mohammed ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Bank Islam dan HDC secara maya pagi ini.

 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi membangunkan program pembiayaan Go Halal SME antara Bank Islam dan HDC secara maya hari ini. 

 

Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

 

Menerusi bundling produk, pelanggan Go Halal SME juga mendapat kemudahan Kad Kredit-i Visa Infinite Business yang membolehkan mereka dan kakitangan syarikat membuat pembayaran perbelanjaan syarikat menggunakan kad kredit dan turut mendapat mata ganjaran. 

 

Mata ganjaran kad yang diraih ini boleh digunakan untuk penebusan pelbagai hadiah atau disalurkan ke platform pendanaan awam Bank Islam, yang dikenali sebagai Sadaqa House, bagi manfaat golongan yang memerlukan.

 

Menerusi program pembiayaan ini, tiada cagaran yang diperlukan untuk memohon. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, antara kriteria utama untuk mendapatkan dana ini, PKS hendaklah terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli kepada HIP dan memberi komitmen untuk melengkapkan modul-modul program HDC. 

 

Katanya, HIP adalah satu platform digital yang menyatupadukan semua komponen utama yang ada dalam ekosistem industri halal di Malaysia. 

 

"Setakat ini terdapat sejumlah hampir 2,200 syarikat yang telah mendaftar di dalam platform HIP ini. Mereka ini sudah boleh dipertimbangkan untuk memohon dana ini," katanya. 

 

Menurutnya, sebagai komuniti HIP, HDC akan membantu PKS untuk menerokai pasaran digital dan menjadi rangkaian hubungan kepada komuniti industri halal lain yang terdiri daripada syarikat multinasional dan
syarikat besar tempatan, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi kewangan dan takaful. - DagangNews.com