KUALA LUMPUR 30 Okt - Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelancaran Rangka Kerja Pengurusan Risiko ESG sejajar dengan komitmennya terhadap perbankan mampan.
Pembangunan rangka kerja ini telah bermula pada suku ketiga 2021 dengan tujuan untuk memperkenalkan langkah pengurusan ESG dan risiko iklim yang bersesuaian serta meningkatkan pengawasan Lembaga Pengarah Bank dalam perkara-perkara melibatkan ESG dan iklim dalam perniagaan bank ini.
Bank Islam akan menerapkan pertimbangan risiko ESG dalam proses penilaian kreditnya dan menggunakan ujian tekanan risiko iklim untuk meningkatkan kemampuan Bank dalam menangani impak perubahan iklim kepada Bank dan pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, dalam memenuhi aspirasi untuk menjadi penyedia kemudahan pembiayaan Islam
terulung di Malaysia, BIMB melaksanakan langkah-langkah untuk mempertimbangkan profil risiko ESG pelanggan sebagai permulaan proses pembiayaan.
"Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kemampanan pelanggan, sejajar dengan usaha utama pengawal selia di peringkat global dan tempatan dalam membina sebuah sistem kewangan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Walaupun pembangunan Rangka Kerja Pengurusan Risiko ESG ini sedang dilaksanakan, Bank Islam telah mengambil langkah untuk menilai permohonan pembiayaan baharu berdasarkan risiko ESG dengan pertimbangan lebih ketara terhadap aspek ESG mengikut konteks khusus industri.
Bank menyasarkan untuk menggandakan aset Syariah-ESG kepada RM4 bilion menjelang akhir tahun 2025 berbanding RM2.62 bilion yang direkodkan pada Jun 2022. Ia merupakan peningkatan sebanyak 16.4% berbanding RM2.25 bilion pada tempoh sama tahun lepas.
Beliau menambah, “Selain membangunkan kad skor penilaian dan mekanisme untuk ESG dan risiko iklim, kami akan turut membantu pelanggan dalam peralihan mereka ke arah usaha pembebasan rendah karbon serta menyumbang terhadap aspirasi sifar bersih negara sebagai sebahagian daripada inisiatif Perantaraan Berasaskan Nilai mereka.”
Didorong aspirasi tersebut, Bank melalui cabang tanggungjawab sosialnya, AMAL Bank Islam (AMAL), baru-baru ini telah menjalankan satu program khidmat komuniti dan
kelestarian di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
Program yang diadakan pada 8 dan 9 Oktober itu bertujuan untuk mewujudkan kehidupan lestari yang holistik dalam komuniti dengan menerapkan penggunaan teknologi hijau dan aplikasi mesra alam, menambah baik sistem sanitasi di tempat tinggal serta menyokong ekonomi dan kebajikan masyarakat pulau berkenaan.
AMAL telah bekerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan, Persatuan Kebajikan Sedulur (Sedulur), bagi menjalankan lima inisiatif pemerkasaan komuniti di Pulau Mabul. Ia melibatkan pembinaan sistem sanitasi dan pemasangan panel solar untuk menyediakan bekalan elektrik di Sekolah Saudara Borneo yang juga merupakan sebuah sekolah untuk anak-anak tanpa kewarganegaraan.
Selain itu, beberapa rumah di atas kaki bajang terpilih juga disediakan dengan kemudahan tandas yang lebih baik bagi memelihara pertumbuhan rumput laut di kawasan terpilih selain menaik taraf dataran komuniti dengan memasang lampu-lampu berkuasa solar. AMAL turut menyumbang peralatan kepada peniaga dan perusahaan kecil tempatan bagi menggiatkan ekonomi setempat serta lampu solar mudah alih, pek makanan dan tuala wanita mesra alam kepada komuniti Bajau Laut di sekitar pulau
tersebut.
Selain itu, AMAL turut menjalin kerjasama dengan Reef Check Malaysia untuk mengkaji keberkesanan sistem sanitasi yang disediakan melalui pengawasan pertumbuhan rumput laut dan kehidupan biodiversiti marin di sekitar Pulau Mabul.
AMAL seterusnya menjalinkan kerjasama strategik dengan Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) bagi menyalurkan bantuan yang amat diperlukan Pusat (AMAL) Latihan dan Amali Orang Kelainan Upaya (OKU) Sabah di Tuaran.
Pusat (AMAL) Latihan dan Amali OKU Sabah merupakan sebuah institusi kemahiran yang melatih individu kelainan upaya fizikal bagi mempelajari kemahiran-kemahiran baharu seperti ilmu pertukangan dan pembuatan perabot serta kemahiran vokasional lain bagi menambah pendapatan mereka.
Bank telah menyumbang wang tunai bagi membantu usaha pembinaan semula bengkel pertukangannya yang telah musnah akibat bencana banjir yang berlaku pada tahun lalu.
Pada masa sama, YSCT turut menyediakan pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 20 pensyarah dan pelajar bagi membaiki kerosakan elektrikal dan pendawaian di pusat tersebut, seterusnya membolehkan bengkel itu kembali beroperasi.
Mohd Muazzam menambah, Bank Islam terus komited untuk menyokong projek-projek yang memelihara kemakmuran masyarakat dan bumi.
"Selaras dengan visi Bank Islam sebagai sebuah bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua, kami akan terus menerapkan pemerkasaan komuniti dan kelestarian dalam strategi perniagaan kami, pada masa sama, memelihara khazanah alam,” ujarnya. - DagangNews.com