Bank Islam perkenal Akaun Pelaburan Mampan Ihsan, pelaburan minimum individu RM50,000 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam perkenal Akaun Pelaburan Mampan Ihsan, pelaburan minimum individu RM50,000

ISIA mencerminkan komitmen Bank Islam dalam mendahulukan kemakmuran untuk semua. 
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Jan - Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) - satu produk inovatif yang direka khusus untuk memberi impak sosial dan alam sekitar yang positif melalui Kewangan Sosial.

 

Pada masa sama, Bank Islam memaklumkan, ISIA direka untuk pelanggan yang mencari pelaburan stabil jangka pendek dalam mengharungi ketidaktentuan yang sering dikaitkan dengan pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap.

 

ISIA ditawarkan dan tersedia untuk pelabur individu mewah dan bukan individu dengan jumlah pelaburan minimum masing-masing RM50,000 untuk individu dan RM1 juta untuk bukan individu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, ISIA mencerminkan komitmen bank dalam mendahulukan kemakmuran untuk semua. 

 

Katanya, menerusi produk ini, para pelabur berpeluang untuk bersama-sama membentuk ekonomi positif kepada alam dengan meneroka potensi Kewangan Islam.

 

"Sebagai sebuah bank Islam, bersikap prihatin dan melakukan yang terbaik adalah sebahagian daripada jati diri kami, selaras dengan tuntutan Syariah (Maqasid Shariah)," katanya dalam satu kenyataan media.

 

ISIA menawarkan pulangan tahunan indikatif 4.5%*, yang mana 2.5% daripada keuntungan akan disalurkan ke Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) atau Sadaqa House Bank Islam. 

 

Ia merupakan salah satu elemen sosial yang diterapkan dalam ciri-ciri kempen ini dengan keuntungan akan diagih secara separuh tahunan dan dalam tempoh pelaburan selama 24 bulan.

 

ISIA adalah Akaun Pelaburan perintis yang direka untuk menawarkan pelabur akses terhadap aset pembiayaan berteraskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atau Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menyokong matlamat SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dan pengelasan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip selaras denganrangka kerja Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Jelas Mohd Muazzam, Bank Islam komited dalam memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban selain pihaknya juga berazam untuk membuat perubahan ketara kepada komuniti dan ekosistem di mana sahaja bank beroperasi. 

 

"Komitmen-komitmen ini penting bagi memastikan setiap sen daripada sumbangan impak sosial menerusi pulangan ISIA disalurkan kepada perubahan bermakna dan berpanjangan. 

 

"Pelaburan pelanggan menerusi ISIA bukan sekadar bernilai dari segi kewangan, ia adalah satu pelaburan demi masa depan yang lebih cerah dan mampan untuk semua," katanya.- DagangNews.com