Bank Islam rangkul 4 anugerah The Asset Triple A | DagangNews Skip to main content

Bank Islam rangkul 4 anugerah The Asset Triple A

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memenangi empat anugerah pada Anugerah The Asset Triple A yang diadakan di ibu negara baru-baru ini. 

 

Kumpulan menerima anugerah Sukuk SRI Terbaik sebagai Penasihat, Penyusun dan Pengurus Utama serta Penasihat Syariah bagi Sukuk Murabaha SRI Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berjumlah RM430 juta. 

 

Bank Islam turut menerima pengiktirafan melalui anugerah Sukuk Baharu Terbaik melalui peranannya sebagai Pengurus Utama bagi Sukuk Wakala Tiga Tranche Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM750 juta.

 

Sementara itu, anak syarikat Kumpulan, BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), diiktiraf sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik buat kali ketiga. 

 

Pada masa sama, BIMB Securities Sdn Bhd (BIMB Securities) melalui peranannya sebagai Ejen Penempatan Bersama telah memenangi anugerah Penempatan Utama Terbaik bagi langkah penempatan utama saham BIMB Holdings Berhad (BIMB Holdings) bernilai RM795.6 juta.

 

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Bank Islam. 

 

"Anugerah-anugerah ini menunjukkan keupayaan Kumpulan menyediakan penyelesaian khusus dan inovatif secara konsisten demi memenuhi keperluan pembiayaan pelanggan, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran sukuk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

bankislam
                                       Mohd Muazzam Mohamed

 

 

Sukuk Murabaha SRI Pengurusan Air Selangor merupakan sebahagian daripada terbitan bernilai RM1.0 bilion, termasuk nota jangka sederhana RM570 juta. 

 

Hasil daripada sukuk berkenaan akan digunakan untuk membiayai projek-projek yang layak dan mematuhi Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Air Selangor yang turut melibatkan projek-projek bekalan dan pengurusan air secara mampan. 

 

Lembaga penilaian anugerah tersebut juga mengiktiraf peranan Bank Islam dalam terbitan Sukuk Wakala Tiga Tranche BSN bernilai RM750 juta yang juga merupakan terbitan dan penglibatan pertama bank tersebut dalam pasaran modal. 

 

Hasil daripada sukuk tersebut diperuntukkan untuk aktiviti pembiayaan patuh syariah BSN seperti membiayai semula pembiayaan sedia ada dan akan datang, selain untuk modal kerjanya dan tujuan korporat lain.

 

 

bankislam

 

 

Dalam pada itu, selain kemenangannya pada 2019 dan 2020, BIMB Investment sekali lagi dinobatkan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik. Anugerah ini mengiktiraf sumbangan dan pencapaian pentingnya dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kemampanan dan pengurusan aset di Asia. Setakat 30 September 2022.

 

BIMB Investment mempunyai enam dana patuh syariah-ESG dengan jumlah aset bawah pengurusan (AUM) bernilai lebih RM620 juta.

 

“Kumpulan Bank Islam telah menjadi penyokong kuat Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang sejajar dengan ESG serta prinsip pelaburan dan pembiayaan mampan. Anugerah-anugerah yang diterima telah membuktikan kemajuan BIMB Investment ke arah menjadi sebuah Institusi Dana Syariah-ESG Global. 

 

"Kami berhasrat untuk menyumbang lebih banyak bagi membangunkan ekosistem pelaburan ESG yang teguh dan dinamik di Malaysia dan rantau ini. 

 

"Kumpulan juga turut berbangga dengan firma pembrokeran saham patuh syariah sepenuhnya kerana memenangi anugerah atas peranannya dalam menyempurnakan pemindahan penyenaraian BIMB Holdings-Bank Islam melalui pelaksanaan penempatan utama pada Oktober tahun lepas,” tambah Mohd Muazzam. - DagangNews.com