Bank Islam sasar 500,000 pelanggan baharu menerusi TheNoor | DagangNews Skip to main content

Bank Islam sasar 500,000 pelanggan baharu menerusi TheNoor

Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Mohd Noor Jab (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Teknologi Noor Luminous, Mohd Izzairi Yamin (dua dari kiri) menandatangani MoU kerjasama bagi aplikasi TheNoor antara Bank Islam dan Noor Luminous di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Bank Islam Malaysia Berhad bekerjasama dengan Noor Luminous Sdn. Bhd. untuk menawarkan kemudahan dan produk perbankan Islam melalui aplikasi digital baharu syarikat itu, TheNoor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, menerusi kerjasama ini, Bank Islam dilantik sebagai bank rasmi TheNoor. 

 

"Ini membolehkan kami menyediakan pelbagai kemudahan dan produk perbankan Islam termasuk pengurusan tunai, pembiayaan peribadi, kenderaan dan perumahan pada kadar istimewa serta pembiayaan perniagaan kepada ejen dan stokis Nilofa Group," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, menerusi aplikasi baharu itu, Bank Islam menyasarkan untuk meraih seramai 500,000 pelanggan baharu dengan penawaran gerbang pautan kepada pelbagai produk dan perkhidmatan. 

 

Antaranya, pembiayaan runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), takaful, kad kredit dan debit serta pembukaan akaun dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Pada masa sama, katanya, Bank Islam juga akan meneroka peluang untuk memperluaskan kerjasama bersama syarikat tersebut pada masa hadapan.

 

Mohd. Muazzam berkata, melalui aplikasi TheNoor, Bank Islam dapat memanfaatkan platform ini untuk
mencapai jaringan pelanggan baharu yang lebih luas dan meningkatkan akses perbankan pelanggan. 

 

Satu majlis menandatangani MoU itu telah diadakan baru-baru ini antara Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Mohd Noor Jab dan Ketua Pegawai Teknologi Noor Luminous, Mohd. Izzairi Yamin. 

 

Majlis itu disaksikan Mohd Muazzam Mohamed; Pengerusi Noor Luminous, Datuk Ahmad Tajuddin Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous, Noor Neelofa Mohd Noor.

 

Dilancarkan pada Januari 2021, TheNoor adalah sebuah aplikasi gaya hidup Muslim yang menerapkan aspek-aspek kerohanian dalam kehidupan harian. 

 

Paparan aplikasi tersebut meliputi waktu solat, penentu arah kiblat, pemain media serta terjemahan
ayat-ayat suci al-Quran kepada 5 bahasa (Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris dan Indonesia). 

 

Aplikasi ini juga menyediakan koleksi hadis dan maklumat pelancongan bagi rujukan pengguna, selain berperanan sebagai platform e-dagang. - DagangNews.com