Bank Islam, SOSEA jalin kerjasama strategik pacu pertumbuhan usahawan sosial di Sabah | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, SOSEA jalin kerjasama strategik pacu pertumbuhan usahawan sosial di Sabah

Mohd Nazri Chik (empat, kiri) memeterai dokumen perjanjian usaha sama strategik mewakili Bank Islam sementara SOSEA diwakili Zazila Roslan (empat, kanan) di Kota Kinabalu, Sabah pada 12 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Bank Islam Malaysia Bhd memeterai dokumen perjanjian usaha sama strategik bersama Persatuan Usahawan-Usahawan Sosial Sabah (SOSEA) bagi kerjasama membangunkan usahawan sosial termasuk memperluaskan akses pembiayaan kepada ahli-ahli di bawahnya.

 

Bank Islam berkata, SOSEA yang dianggotai 70 usahawan sosial merupakan persatuan perusahaan sosial kedua terbesar di Malaysia yang ditubuhkan sejak 2021 bertujuan menghubungkan usahawan sosial di Sabah menerusi jaringan dan kerjasama strategik. 

 

Menurutnya, usahawan sosial memainkan peranan penting dalam membolehkan dan menangani cabaran masyarakat setempat dengan menghasilkan produk atau perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

 

Katanya, sebelum pemeteraian perjanjian diadakan, Bank Islam mengadakan lawatan kepada beberapa perusahaan sosial milik ahli-ahli SOSEA di Kota Belud, Kundasang dan Papar. 

 

"Sebuah sesi libat urus juga diadakan di antara Bank Islam dan pemimpin serta ahli-ahli SOSEA bagi memahami lebih mendalam terhadap cabaran dan potensi usahawan-usahawan sosial di Sabah.

 

"Menerusi pemeteraian perjanjian berkenaan, Bank Islam melantik SOSEA sebagai pembuat perubahan yang menjadi rakan pelaksana dalam agenda kewangan sosialnya. 

 

"Justeru, kerjasama ini nanti akan memberi manfaat yang diperlukan bukan sahaja kepada usahawan sosial yang layak malah mencipta manfaat kepada kumpulan masyarakat yang terpinggir serta alam sekitar," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

bankislam

 

 

Terdahulu, pemeteraian perjanjian tersebut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik dan Presiden SOSEA, Puan Zazila Roslan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

 

Mohd Nazri berkata, Bank Islam memberi fokus kepada pembangunan perusahaan sosial bermula 2024 bagi menggandakan impak sosial ke arah sistem kewangan yang lebih inklusif. 

 

Beliau berkata, sokongan daripada bank komersial seperti Bank Islam akan melonjakkan lagi potensi perusahaan sosial dan seterusnya memastikan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) yang dilancarkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tercapai dengan jayanya. 

 

Katanya, Sabah mempunyai ramai usahawan sosial berpotensi tinggi yang mampu meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi rakyat setempat dan pada masa sama, memelihara kesejahteraan alam sekitar. 

 

Beliau menambah, pada 2024, Bank Islam Islam akan turut mengembangkan fokus dan kerjasama dengan perusahaan sosial di negeri-negeri lain di Malaysia. 

 

"Bagi 2024, Bank Islam merancang untuk memperluaskan lagi usaha kepada membangunkan keusahawanan sosial di negeri-negeri lain di Malaysia. 

 

"Usaha ini akan menyediakan peluang kepada usahawan sosial untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka melalui program pembiayaan mikro iTEKAD kami yang komprehensif, pada masa sama, memperkukuhkan lagi perusahaan yang dijalankan demi impak sosial yang lebih ketara kepada komuniti dan persekitaran," ujarnya. - DagangNews.com