Bank Islam tawar 10,000 Kad Kredit i-Visa bertemakan FIFA sempena Piala Dunia Qatar 2022 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam tawar 10,000 Kad Kredit i-Visa bertemakan FIFA sempena Piala Dunia Qatar 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Bank Islam Malaysia Berhad menawarkan 10,000 Kad Kredit-i Visa edisi terhad bertemakan FIFA kepada pelanggan baharu dan sedia adanya bersempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 di Qatar.

 

Bank Islam turut menganjurkan kempen istimewa untuk pemegang kad Visa bertemakan FIFA itu yang berpeluang untuk terbang ke Qatar dan menyaksikan perlawanan piala dunia secara langsung yang ditaja oleh Visa.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Runcit) Bank Islam, Mizan Masram berkata, bank itu berbesar hati untuk bekerjasama dengan Visa dan pelancaran kad kredit tersebut mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan pengalaman pelanggan secara berterusan.

 

"Menerusi kad edisi terhad ini, kami menyasarkan 10,000 pemegang kad baharu terutamanya golongan muda dan yang baru bekerja untuk menyertai 150,000 pemegang kad kredit sedia ada.

 

"Dengan reka bentuk menarik yang menampilkan trofi Piala Dunia FIFA pada bahagian latar kad, peminat bola sepak akan memperingati acara berprestij itu dan seterusnya memeriahkan lagi penganjuran Piala Dunia FIFA Qatar 2022,” katanya satu kenyataan, hari ini.

 

Kejohanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dijadualkan bermula 21 November hingga 18 Disember 2022.

 

bankir

 

Mengenai kempen yang berlangsung dari 15 Jun hingga 30 September 2022 itu, Mizan berkata ganjaran yang disediakan termasuk tiket perlawanan dan penerbangan pergi-balik untuk dua orang, penginapan dan wang tunai RM10,000.

 

Pemegang kad turut berpeluang memenangi hadiah sagu hati bulanan berupa barangan edisi terhad FIFA 2022, menikmati pulangan tunai atau baucar barangan sukan.

 

Sementara itu, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia Ng Kong Boon berkata, Visa berharap rakyat Malaysia akan memanfaatkan pengalaman yang ditawarkan dengan memohon kad tersebut dan merebut peluang untuk memenangi tiket menonton perlawanan Piala Dunia secara langsung di Qatar serta barangan eksklusif FIFA yang menarik.  

 

Manfaat lain termasuklah  perlindungan takaful percuma bagi baki kad dan ganjaran TruPoints bagi setiap RM1 yang dibelanjakan menggunakan kad tersebut.

 

Pemegang kad dengan 12 transaksi minimum setiap tahun turut layak untuk menikmati pengecualian fi tahunan.

 

Pelanggan layak untuk menyertai kempen ini dengan memohon dan mengaktifkan kad edisi terhad itu atau mengumpul kelayakan penyertaan dengan berbelanja pada nilai minimum RM200 dalam satu resit menggunakan kad berkenaan sepanjang tempoh kempen. - DagangNews.com