Bank Muamalat catat peningkatan keuntungan sebelum zakat, cukai sebanyak 46.8% bagi FY21 | DagangNews Skip to main content

Bank Muamalat catat peningkatan keuntungan sebelum zakat, cukai sebanyak 46.8% bagi FY21

KUALA LUMPUR 28 April - Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak 46.8% kepada RM256.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM174.8 juta pada tahun sebelumnya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, prestasi cemerlang yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021 sebahagian besarnya didorong oleh jumlah pendapatan yang meningkat, pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dan kualiti aset yang lebih baik.

 

“Bank Muamalat kekal berdaya tahan dalam tempoh yang mencabar, walaupun terdapat risiko yang wujud daripada peningkatan semula pandemik COVID-19 dan sekatan yang memberi impak kepada operasi perniagaan untuk sebahagian besar tahun lepas.

 

“Sekatan pergerakan COVID-19 yang ketat menjejaskan individu dan perniagaan dan bank terus membantu pelanggan yang menghadapi kekangan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Khairul berkata, kumpulan itu turut mencatatkan pertumbuhan jumlah aset sebanyak 7% kepada RM27.6 bilion daripada RM25.8 bilion pada tahun kewangan 2020.

 

“Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.46% untuk jumlah pembiayaan kasar kepada pelanggan yang meningkat kepada RM20.9 bilion pada tahun kewangan 2021 daripada RM18.2 bilion pada tahun kewangan 2020, sebahagian besarnya daripada segmen perbankan pengguna,” katanya.

 

Beliau berkata, Nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan Nisbah Jumlah Modal kumpulan kekal stabil dan masing-masing, ditutup pada 13.71% dan 17.35%.

 

Bank Muamalat juga terus menambah baik kualiti asetnya, dengan Pembiayaan Terjejas Kasar pada 0.83% setakat 31 Disember 2021, berbanding 1.07% sehingga 31 Disember 2020.

 

Khairul turut memuji kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi di Malaysia, menyatakan bahawa pelaksanaan segera dos penggalak telah memberi laluan untuk kembali normal.

 

“Selepas menghadapi pandemik di landasan yang kukuh, Bank Muamalat menjangka prestasi yang lebih baik untuk 2022, berikutan momentum yang positif pada 2021, selain keupayaan digital dan teknologi yang dipertingkatkan,” katanya. - DagangNews.com