Bank Muamalat, CIMB Islamic sertai Bank Islam perluaskan program iTEKAD 2.0 bantu B40, asnaf | DagangNews Skip to main content

Bank Muamalat, CIMB Islamic sertai Bank Islam perluaskan program iTEKAD 2.0 bantu B40, asnaf

 

 


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tiga bank Islam di negara ini mempertingkatkan usaha mereka untuk menyediakan khidmat kepada asnaf dan komuniti yang sedang berdepan kesan pandemik COVID-19 menerusi pengembangan program iTEKAD 2.0.

 

Ini mendorong Bank Muamalat Malaysia Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad menyertai Bank Islam Malaysia Berhad dalam memperluaskan lagi pelaksanaan program ini. 

 

Program iTEKAD berbentuk kewangan sosial adalah bersifat holistik bagi memastikan para peserta menjana pendapatan mampan dan mempunyai daya tahan kewangan. 

 

Mohd. Muazzam Mohamed
Mohd. Muazzam Mohamed

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pada peringkat awal iTEKAD, Bank Islam menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp). 

 

Katanya, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta menggunakan dana Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi program ini. 

 

"Dengan sasaran awal 100 usahawan mikro, seramai 98 pemilik perniagaan telah menerima kelulusan pembiayaan mikro yang berjumlah kira-kira RM1.8 juta daripada Bank Islam setakat 31 Julai 2021. 

 

"Daripada angka berkenaan, seramai 49 usahawan asnaf menerima zakat berjumlah RM205,000 menerusi usaha sama kami dengan MAIWP. 

 

"Menerusi SME Corp. pula, ia telah menganjurkan enam sesi latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan untuk para peserta," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dilancarkan pada Mei 2020 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iTEKAD direka untuk menggerakkan instrumen kewangan sosial seperti zakat, sedekah, wakaf dan dana pelaburan sosial. 

 

Program ini menawarkan modal awalan dengan kemudahan pembiayaan mikro berpatutan kepada pemohon yang layak. 

 

Ia berperanan memperkasakan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan individu B40 yang layak untuk mencapai ketahanan kewangan, menjana pendapatan mampan dan menyumbang kepada komuniti. 

 

Selain pendanaan modal kerja, iTEKAD juga memanfaatkan dana-dana kewangan sosial seperti zakat atau sedekah untuk mengurangkan pendedahan kredit usahawan mikro asnaf yang layak dengan menyediakan modal kerja atau pembelian peralatan perniagaan.

 

Bagi fasa seterusnya, Mohd. Muazzam berkata, Bank Islam akan memperluaskan akses iTEKAD ke Selangor dan Perlis menerusi kerjasama dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam di kedua-dua negeri berkenaan.

 

Menurutnya, Bank Islam mengalu-alukan perluasan program iTEKAD menerusi penglibatan Bank Muamalat dan CIMB Islamic kerana percaya ia akan memperkukuhkan sokongan sosio ekonomi yang diperlukan dalam mendepani kesan COVID-19. 

 

"Kami menggalakkan lebih ramai usahawan B40 dan asnaf untuk menyertai program pembiayaan mikro ini.

 

"Program iTEKAD menyerlahkan kepentingan Kewangan Sosial Islam dalam memelihara kesejahteraan segmen rentan dalam komuniti, khususnya dalam keadaan semasa yang amat mencabar," tambahnya. 

 

 

Khairul Kamarudin
Khairul Kamarudin

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat adalah pencetus trend dalam menyumbang kepada kewangan sosial Islam dan menerajui bidang tersebut dengan menyediakan penyelesaian inovatif terhadap ketidaktentuan ekonomi semasa menerusi program iTEKAD Mawaddah.

 

Katanya, program iTEKAD Mawaddah adalah unik kerana ia menerapkan inovasi syariah mudarabah dua peringkat. 

 

"Di bawah konsep baharu ini, Bank Muamalat akan mengumpul dana daripada para pelabur untuk melabur dalam perniagaan-perniagaan yang dimiliki individu B40 dan usahawan mikro. 

 

"Keuntungan dan kerugian setiap perniagaan akan dikongsi oleh pelabur masing-masing," jelas beliau.

 

Program iTEKAD Mawaddah menyasarkan penyertaan usahawan dalam segmen makanan dan minuman (F&B), pertanian dan ekonomi sambilan (gig economy). 

 

Usahawan yang menyertai program ini akan disediakan khidmat nasihat kewangan dan Pensijilan Halal. 

 

Bagi fasa pertama program iTEKAD Mawaddah, Bank Muamalat menyasarkan dana pelaburan berjumlah RM200,000 daripada pelabur terpilih yang akan memberi manfaat kepada 20 usahawan industri F&B. 

 

 

Ahmad Shahriman Mohd Shariff
Ahmad Shahriman Mohd Shariff

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berbesar hati dapat menyokong inisiatif iTEKAD BNM dalam menyumbang secara positif terhadap ekonomi dan komuniti tempatan termasuk golongan B40 dan asnaf, serta mereka yang terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

"Menerusi inisiatif akan datang kami iaitu Program Keusahawanan Penghantar Makanan akan meletakkan asas untuk membentuk penjanaan pendapatan yang berterusan bagi komuniti kurang bernasib baik menerusi peningkatan kemahiran, penyediaan latihan berstruktur dan peluang kerja," katanya.

 

CIMB Islamic bakal menyaksikan kumpulan pertama graduan Program Keusahawanan Penghantar Makanannya pada September ini, dengan pilihan meneruskan minat mereka dalam khidmat penghantaran makanan disokong oleh penyediaan geran motosikal. 

 

Selepas menamatkan program tersebut, peserta juga boleh meningkatkan kemahiran mereka dalam usaha untuk memiliki perniagaan tersendiri. 

 

Program Keusahawanan Penghantar Makanan CIMB Islamic akan dikendalikan melalui dana awalan bernilai RM300,000. - DagangNews.com