Bank Muamalat tawar moratorium hingga 6 bulan kepada mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Bank Muamalat tawar moratorium hingga 6 bulan kepada mangsa banjir

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Bank Muamalat Malaysia Bhd menawarkan bantuan khas moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir, baru-baru ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, ia termasuk bantuan penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggannya.

 

Katanya, pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

 

"Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited menyediakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini. 

 

"Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan 'Service Request Form' (SRF) yang disediakan di laman web Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel bantuanbanjir@muamalat.com.my. 

 

"Langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500. - DagangNews.com