Malayan Flour Mills catat peningkatan untung bersih 96.1% kepada RM64.1 juta pada 9MFY24 dipacu segmen perdagangan tepung  | DagangNews Skip to main content

Malayan Flour Mills catat peningkatan untung bersih 96.1% kepada RM64.1 juta pada 9MFY24 dipacu segmen perdagangan tepung 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov - Untung bersih Malayan Flour Mills Bhd (MFM) melonjak 96.1% kepada RM64.1 juta pada sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9M24) dipacu prestasi segmen perdagangan tepung dan bijian (FGT) Malaysia dan Vietnam yang kukuh.

 

Segmen FGT, digabungkan dengan perniagaan Aquafeed menyumbangkan untung bersih sebanyak RM81.3 juta pada tempoh itu. 

 

Katanya,kenaikan keuntungan itu didorong oleh volum jualan tinggi dan margin yang sihat dibantu oleh penurunan kos gandum.

 

"Syarikat 30% milik kami di Indonesia, PT Bungasari Flour Mills, mencatatkan kerugian bersih yang lebih kecil pada RM20.7 juta. 

 

"Ia merupakan peningkatan daripada kerugian besar RM71.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh volum jualan yang lebih tinggi dengan margin yang lebih baik.

 

“Bagaimanapun, keputusan yang lebih baik dalam 9MFY24 sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lemah dalam segmen Integrasi Ayam (PI), yang dikendalikan di bawah usaha sama 51.0% milik Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB).

 

“Segmen tersebut mencatat keuntungan bersih pada RM800,000 dalam 9MFY24, berikutan kesan boikot terhadap rantaian makanan segera Barat berkaitan konflik geopolitik Asia Barat, serta pemberhentian subsidi ayam sejak November 2023,” katanya.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Malayan Flour Mills Bhd, Teh Wee Chye berkata, segmen FGT Malaysia dan Vietnam dijangka akan terus menyumbang kepada hasil prestasi kewangan kumpulan.

 

“Walaupun kami mengalami permintaan yang lebih lembut di Indonesia, kami tetap fokus untuk mengoptimumkan kecekapan dan penggunaan kapasiti pengeluaran kami.

 

“Dalam pada itu, kami sedang aktif meneroka peluang pasaran baharu, apabila keadaan bertambah baik, segmen PI kami akan memperoleh semula momentumnya.

 

“Strategi kami terus menumpukan pada pertumbuhan mampan merentas semua segmen, memastikan kami bersedia untuk menghadapi tekanan luaran sambil mencipta nilai kepada pemegang saham kami,” katanya.- DagangNews.com