KUALA LUMPUR 17 Jan - Bursa Malaysia memperkenalkan subsektor tenaga boleh diperbaharui (RE) baharu dalam klasifikasi sektor tenaga dan utiliti, bertujuan memberikan pengkelasan yang lebih terfokus bagi syarikat tersenarai awam (PLC) yang beroperasi dalam bidang RE.
Klasifikasi RE baharu itu merangkumi PLC yang terlibat dalam penyediaan peralatan dan perkhidmatan untuk pengeluaran RE, serta syarikat yang menghasilkan atau mengedarkan elektrik melalui sumber RE.
Sehubungan itu, sebanyak 13 PLC telah dikelaskan semula di bawah subsektor baharu, berkuat kuasa pada 13 Januari 2025.
Nombor saham dan nama pendek syarikat kekal tidak berubah.
Syarikat-syarikat itu ialah:
- BM Greentech Bhd
- Cypark Resources Bhd\
- Eden Inc Bhd
- Elridge Energy Holdings Bhd
- Kinergy Advancement Bhd
- Mega First Corp Bhd
- Nuenergy Holdings Bhd
- Pekat Group Bhd
- Reneuco Bhd
- Samaiden Group Bhd
- Solarvest Holdings Bhd
- Sunview Group Bhd
- Trive Property Group Bhd.
Menurut Bursa Malaysia, subsektor RE baharu itu bertujuan untuk memberikan pelabur pandangan yang lebih jelas tentang industri yang tersenarai di bursa saham.
"Dengan membahagikan sektor tenaga dan utiliti yang lebih luas kepada subsektor yang lebih spesifik seperti RE, pelabur dapat memperoleh pandangan yang lebih jelas mengenai peluang tertentu dalam subsektor yang berkembang pesat ini.
"Ketajaman analisis ini akan memberi kuasa kepada pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat dengan memudahkan analisis lebih mendalam mengenai potensi pertumbuhan dan cabaran yang dihadapi oleh syarikat RE," kata Bursa.
Pengenalan subsektor RE tersebut dijangka meningkatkan keterlihatan PLC terlibat dalam kalangan pelabur yang fokus kepada inisiatif yang lestari dan mesra alam.
Ini boleh membantu syarikat RE menarik lebih ramai pelabur, mendapatkan pembiayaan untuk memperkembangkan operasi, berinovasi atau meningkatkan kecekapan operasi, serta mengukuhkan kedudukan dan penilaian pasaran mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa, Datuk Muhamad Umar Swift pada masa sama berkata, penambahbaikan itu akan memperluaskan daya tarikan kepada asas pelabur yang lebih luas, selaras dengan misi Bursa untuk mewujudkan peluang dan meningkatkan nilai.
"Kami kekal komited untuk meningkatkan daya tarikan pasaran modal kepada pelabur," ujarnya. - DagangNews.com